Reaksi Awal Black Shark 3 - Peranti Gaming Lengkap Dengan Aksesori

Black Shark 3 telah pun dirasmikan pelancarannya di Malaysia. Versi Pro walau bagaimanapun belum lagi dilancarkan kerana pelancarannya akan diumumkan pertengahan Mei ini. Jadi, saya telah menggunakan Black Shark 3 dalam sekitar 2 hari dan ini merupakan pandangan awal saya.


Rekaan


Dari segi rekaan, Black Shark 3 ini bukan sebuah peranti yang kecil.Paparannya bersaiz 6.67 inci dengan resolusi Full HD+. Jika anda mahukan Black Shark 3 dengan resolusi lebih tinggi, ia hanya terdapat pada versi Pro sahaja. Apa-apa pun skrinnya masih sangat baik. Ia merupakan panel jenis AMOLED dan turut menyokong piawaian warna HDR10+. Jadi, segala kandungan atau video yang dimainkan memang sangat puas hati.



Rekaan hadapan peranti ini saya agak suka kerana tiada takuk yang mengacau kandungan. Tambahan, bezel pada atas dan bawah sangat simetri dan tidak mencacatkan pandangan sepertimana pada peranti flagship Google yang terkini. Bezel ini juga ada gunanya kerana ia menempatkan sebuah pembesar suara stereo yang sangat cemerlang. Namun pada pendapat saya, aspek bass mungkin agak sedikit rendah dan kurang umph terutamanya ketika mendengar lagu kegemaran saya.



Agak mengecewakan kerana tiada tetapan untuk mengawal atau mengubah equalizer terbina dalam perisian supaya pengguna boleh menikmati muzik dengan lebih puas hati mengikut cita rasa sendiri.

Jari jemari saya agak kecil. Dan walaupun saya tahu itu bukan salah saya, ia sangat menyusahkan saya untuk mengawal peranti ini kerana saiznya yang besar. Tambah memeritkan butang kuasa dan kawalan bunyi diletakkan jauh pada bahagian atas peranti menjadikan jari terpaksa menjengket untuk menekannya. Pada bahagian bezel atas, ia turut memuatkan kamera swafoto dengan sensor 20MP.



Belum habis lagi mengenai rekaan, bahagian belakang memang direka untuk menunjukkan sisi gaming peranti. Ia diadun dengan bahan binaan aluminium dan juga kaca menjadikan pengalaman memegangnya satu perkara yang unik. Selain itu, elemen simetri masih lagi diperlihatkan dengan meletakkan bentuk bersegi pada atas dan bawah.



Elemen bersegi ini direka menimbul dan menjadikan keseluruhan panel belakang peranti seperti bukit-bukau. Pada bahagian atasnya ia memuatkan 3 kamera 64MP utama, 13MP sudut lebar, dan 5MP depth. Pada bahagian bawah pula tidak semeriah atas. Ia hanya memuatkan port pengecasan magnetik (yang akan diceritakan selanjutnya). Port ini sahaja tidak cukup jadi Black Shark memuatkan logo 5G dan juga “BLACK SHARK” dalam font tema gaming untuk menjustifikasikan kekosongan modul tersebut.



Tidak lengkap produk gaming tanpa RGB jadi huruf “S” yang boleh bercahaya diletakkan pada bahagian tengah belakang peranti ini. Ia bukannya satu-satunya elemen yang boleh bercahaya kerana pada kedua-dua modul atas dan bawah peranti tersebut mempunyai satu bar garis seumpama melengkapkan persembahan RGB peranti.



Cahaya RGB ini boleh dimatikan jika anda tahu tiada siapa yang akan melihatnya lebih-lebih lagi ketika musim PKP ini. Anda juga boleh mengubah pelbagai variasi warna RGB dalam bentuk pelbagai corak Flash, Breath ataupun nyalakannya setiap masa jika mahu membazir bateri. Setiap satu corak itu juga boleh diubah dari segi aspek arah pergerakan dan kelajuan perubahan warna menjadikan ia satu aspek unik kepada peranti ini.



Terdapat satu butang tarik yang berfungsi sebagai mod gaming yang dipanggil Shark Space. Ia merupakan perisian khusus untuk memfokuskan sistem operasi peranti hanya untuk permainan yang dimainkan. Untuk mengaktifkan butang ini, anda perlu menolaknya kekanan dan sejurus itu, peranti akan masuk ke paparan visual melintang dan bergetar seperti memasuki sebuah satu alam baharu. Jika mahu keluar dari Shark Space tersebut, anda hanya perlu tarik butang yang sama ke kiri dan perisian tersebut akan tutup serta-merta.



 

Peranti ini turut mempunyai bicu audio 3.5mm. Namun apa yang kurang syok, ia seakan tajam jika disentuh dan tidak diletakkan betul-betul di tengah bahagian atas peranti ini. Keseluruhannya peranti ini bukanlah peranti yang sedap digenggam kerana variasi kontur yang terdapat bahagian belakang. Tambahan lagi, peranti ini mempunyai rekaan sedikit tebal kerana mahu memuatkan kapasiti bateri sebesar 4,720mAh.



Jika ada perkara yang boleh dipuji mengenai rekaan Black Shark 3, ia terasa sangat jitu dan tegap seolah-olah memegang batu-bata.

Prestasi


Sebagai raja dalam ‘rantaian makanan’ cip pemprosesan, Snapdragon 865 membekalkan pengalaman penggunaan yang sangat lancar. Black Shark Malaysia hanya membawa satu sahaja varian untuk Black Shark 3 ini iaitu 8GB RAM. Storan dalaman pula untuk harga yang ditawarkan bagi saya agak kecil hanya 128GB, ditambah lagi tiada sokongan kad microSD.



Mana-mana permainan dengan grafik yang berat sangat mudah dimainkan oleh peranti ini tanpa rasa terbeban. Baik Call of Duty Mobile, PUBG atau Mobile Legends:Bang Bang, peranti ini tiada masalah untuk memainkannya.

Black Shark 3 ini mempunyai motor gegaran yang sangat baik. Sudah tentu ia bukan bertaraf seperti peranti iPhone ataupun Pixel 4, namun untuk sesebuah peranti Android, ia jauh lebih sedap jika digunakan.Anda juga boleh mengubah tahap sensitiviti gegaran agar menjadi halus supaya menjadi lebih sopan atau maksimumkannya untuk rasakan gegaran yang ganas.



Paparan 90Hz sememangnya nampak cantik atas kertas, tetapi hakikatnya, kebanyakan permainan mainstream belum lagi menyokong kadar segar semula setinggi ini. Agak ironi untuk saya katakan, tetapi jika anda lebih banyak menghabiskan masa menatal media sosial seperti Facebook, Twitter, atau Instagram, panel ini lebih banyak menyumbang kepada kebahagiaan anda berbanding ketika bermain permainan.

Aksesori


Peranti gaming kebiasaannya tidak menaruh spesifikasi tinggi semata-mata kerana kebanyakannya menyertakan sekali aksesori untuk menjadikan keseluruhan bermain permainan yang lebih lengkap. Untuk Black Shark ia menyertakan beberapa aksesori yang sangat membantu dan memeriahkan lagi ekosistem siri Black Shark 3 ini.



  • Magnet Charging Cable


Jika anda bermain permainan, sudah tentu peranti diletakkan dalam posisi melintang. Ini menjadikan keadaan yang sangat janggal untuk mengecas peranti kerana lubang pengecasan USB-C kini sudah berada pada bahagian sisi. Untuk menangani masalah ini, Black Shark telah menghasilkan satu kabel khas magnetik.

Apa yang menarik, kabel ini rekaannya ringkas dan sangat mudah digunakan. Ini adalah kerana lubang magnetik pada peranti memudahkan sambungan. Kekuatan magnetnya tidak sekuat mana. Namun, ia melekap dengan tegap serta mudah dicabut jika tidak mahu menggunakannya.



  • Black Shark Gamepad


Ini merupakan aksesori alat kawalan. Ia hadir dalam beberapa pecahan komponen dan boleh juga digunakan pada peranti lain selain Black Shark 3. Untuk menggunakan alat kawalan ini, pengguna terlebih dahulu perlu memasang komponen yang berfungsi sebagai penyambung kepada komponen kawalan sebenar.

Menyambungkannya hanyalah semudah tarikan menggunakan mekanism gelongsor.



  • Papan Kekunci Mekanikal


Dengan Black Shark 3, Black Shark juga hadir dengan aksesori papan kekunci mekanikal. Suis yang digunakan walaupun tidak dinyatakan, ia mempunyai ciri-ciri suis biru yang mempunyai bunyi klik yang kuat. Keseluruhan dimensi papan kekunci ini agak besar namun pada bahagian bawah terdapat kawasan rehat untuk tangan ketika bermain permainan.


Rumusan


Kesimpulan yang saya dapat melalui pengalaman menggunakan peranti ini, walaupun kejap, ia masih merupakan peranti yang sangat unik untuk digunakan. Sejujurnya, saya bukanlah peminat peranti bersaiz besar kerana ia menyukarkan pengendalian dan Black Shark 3 tidak terkecuali dari masalah ini.

Tidak dinafikan spesifikasi peranti yang sangat berkuasa. Namun sebagai sebuah peranti, aspek lain juga turut dititikberatkan seperti paparan 90Hz yang sangat baik, kualiti pembesar suara stereo, dan juga aksesori yang memeriahkan ekosistem peranti ini.



Jika anda seorang yang gemar bermain permainan pada peranti pintar, tidak syak lagi Black Shark 3 merupakan antara peranti yang perlu disenarai pendekkan.

Black Shark dijual berharga RM 2,799 di Malaysia. Untuk lihat penawaran Black Shark 3 boleh layari Black Shark Malaysia Shopee dan Facebook Black Shark Malaysia.

Berkaitan