POCO M2 Pro Dilancarkan, Mirip Kepada Redmi Note 9S

Anda mungkin belum lagi habis bercerita mengenai penawaran POCO F2 Pro pada harga promosi sempena jualan 7.7 yang berlangsung hari ini. Kini tiba pula berita kehadiran rasmi sebuah peranti kelas pertengahan dari jenama tersebut dikenali sebagai POCO M2 Pro untuk pasaran India.

Melihat pada tawaran model kali ini, ia mirip kepada Redmi Note 9s yang ditawarkan pada pasaran tempatan.



Spesifikasi yang dibawa M2 Pro adalah skrin paparan LCD 6.67 inci dengan resolusi 1080p. Rekaan berlubang berada diatas tengah paparan bertujuan untuk menempatkan sensor kamera 16MP.

Sementara itu, bahagian belakang pula dipersenjatakan dengan empat kamera terdiri daripada 48MP, 8MP ultra lebar, 5MP makro dan 2MP untuk bantuan kedalaman. Menguasakan peranti dari dalam ialah cip Snapdragon 720G yang digandingkan dengan pasangan memori RAM 4GB/6GB serta storan 64GB/128GB.



Janaan kuasa peranti pula ditugaskan kepada bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 33W disediakan didalam kotak. POCO menjanjikan pengecasan sehingga 50% dalam tempoh 30 minit.

Perbezaan ketara antara M2 Pro dan Redmi Note 9s adalah dari segi kapasiti bateri (Note 9s 5020mAh) dan pengecasan yang diberikan didalam kotak (Note 9s 22.5W)

Harga jualan untuk pasaran India pula diletakkan pada nilai Rs 13999 (~RM799), Rs14999 (~RM856) dan Rs16999 (~RM970) berbeza mengikut variasi storan.

Kami merasakan ia mungkin tidak akan dibawa masuk ke pasaran tempatan kerana penawarannya lebih kurang sama seperti Redmi Note 9s sedia ada.