PLUS akan memulakan ujian sistem pembayaran terbuka tol menggunakan teknologi pengecaman nombor plat automatik (ANPR) bermula Oktober ini.
Projek rintis akan dilaksanakan di laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua, sebelum diperluaskan ke keseluruhan jajaran Lebuhraya PLUS secara berperingkat. Pendekatan ini membolehkan pengguna menikmati perjalanan lebih lancar melalui pelbagai lorong tol tanpa henti.
Sistem ini disokong oleh integrasi platform digital yang membolehkan pelbagai mod pembayaran tanpa tunai, paparan e-invois, semakan transaksi tol dan lain-lain perkhidmatan mobiliti.
Sementara itu, pendaftaran boleh dilakukan dalam talian secara percuma menggunakan maklumat pengenalan diri, kenderaan dan kaedah pembayaran pilihan.
Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi yang meninjau pelaksanaan projek itu berkata ujian awal akan dilakukan di 13 plaza tol membabitkan 35 lorong.
Beliau turut menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah penting ke arah pelaksanaan sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) secara menyeluruh.
“Hari ini saya sendiri telah mencuba sistem ini di plaza tol dan terbukti jauh lebih pantas…Selepas nombor pendaftaran dibaca, kadar tol akan ditolak secara automatik dalam akaun yang telah didaftarkan. Jika tiada baki, bayaran akan dituntut kemudian kepada pemilik,” katanya kepada media.
Projek ini merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS serta beberapa syarikat konsesi lebuh raya.
Dalam masa yang sama, teknologi gantri MLFF juga sedang dinilai dan dibangunkan sepenuhnya oleh pakar tempatan tanpa membabitkan kos kepada kerajaan.
Sumber: Kementerian Kerja Raya
