Sebuah pesawat elektrik berjaya melakukan penerbangan antara lapangan terbang Stavanger dan Bergen di Norway pada Khamis, mensimulasikan penerbangan kargo buat pertama kali dalam keadaan sebenar, menurut operator penerbangan Norway, Avinor.
Pesawat kecil jenis Alia, yang dibina oleh pengeluar pesawat AS, Beta, menempuh perjalanan sejauh 160 kilometer (100 batu) dalam ujian yang dijalankan oleh Bristow, anak syarikat pengangkutan Norway.
Penerbangan itu mengambil masa 55 minit dan mensimulasikan laluan kargo di tenggara Norway.
“Ini kali pertama pesawat elektrik melalui laluan perdagangan antara Stavanger dan Bergen,” kata salah seorang pengarah Avinor, Karianne Helland Strand, kepada AFP.
“Segalanya berjalan dengan sangat baik,” tambahnya.
Avinor ialah syarikat milik kerajaan yang mengendalikan lapangan terbang serta kawalan trafik udara di Norway.
Ujian penerbangan ini menggunakan pandangan visual berbanding instrumen adalah sebahagian daripada penilaian untuk melihat sejauh mana teknologi ini boleh disepadukan dalam trafik udara dan infrastruktur darat.
Pihak berkuasa kawal selia Norway turut terlibat rapat dalam ujian ini bagi memastikan penerbangan elektrik boleh dilancarkan secara komersial sebaik sahaja teknologi sedia, yang dijangka sekitar 2028 hingga 2030.
Tempoh ujian bermula Ogos lalu dan akan berlangsung sehingga Januari 2026.
“Ia seperti ujian dunia nyata yang pertama,” kata juruterbang Jeremy Degagne kepada AFP.
Bateri pesawat ini membolehkan perjalanan sehingga 400 kilometer yang mana cukup untuk penerbangan pergi balik antara Stavanger dan Bergen.
“Saya tidak ada kebimbangan tentang jarak kerana kami merancang penerbangan mengikut had pesawat,” jelas Degagne.
“Kalau kereta elektrik, anda mungkin fikir boleh cuba 10 kilometer lagi untuk sampai ke stesen pengecas. Tetapi dalam konteks penerbangan, anda tidak akan buat begitu. Kami ada batasan tenaga yang sama seperti pesawat biasa dengan bahan api.”
Pada Ogos 2019, bekas CEO Avinor, Dag Falk-Petersen, pernah membuat pendaratan cemas dengan pesawat elektrik yang dipandunya sendiri di selatan Norway selepas enjin hilang kuasa.
Beliau tidak cedera, begitu juga seorang menteri kerajaan Norway yang turut berada di dalam pesawat ketika itu.
Sebagai pelopor kereta dan bot elektrik, Norway kini berharap dapat mencipta nama dalam industri penerbangan dengan bereksperimen menggunakan pesawat rendah atau sifar emisi.
Sektor penerbangan antara yang paling sukar untuk dinyahkarbon dan kini menyumbang hampir tiga peratus pelepasan karbon dioksida global. – AFP
{suggest}