Perkhidmatan Pemasangan Dan Penyelenggaraan Internet Kini Dibenarkan Di Zon Hijau

Perkhidmatan komunikasi dan internet yang termasuk dalam kategori perkhidmatan perlu (essential services) kini dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, perkhidmatan itu termasuk kerja pemasangan jalur lebar talian tetap, pembaikan, penyelenggaraan rangkaian dan pemasangan infrastruktur baharu.

Dengan menjalankan perkhidmatan tersebut, ia perlu mengambil kira tahap keselamatan para pelanggan dan pekerja syarikat penyedia perkhidmatan, serta situasi semasa di lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi dengan jangkitan Covid-19.

perkhidmatan jalur lebar

Secara amnya, hanya premis pelanggan yang terletak di dalam zon hijau yang dibenarkan untuk kerja pemasangan jalur lebar talian tetap. Namun, jika premis berkenaan terletak di bawah zon kuning atau merah, kerja pemasangan jalur lebar talian tetap adalah tidak dibenarkan.

Selain itu, bagi kerja-kerja pembaikan, kakitangan syarikat telekomunikasi dan pihak pemasang dibenarkan untuk memasuki premis pelanggan sekiranya kawasan berkenaan adalah di dalam zon hijau. Bagi zon kuning atau merah, hanya boleh dilakukan di pusat pengedaran (distribution point) sahaja.

Bagaimanapun, tindakan memasuki premis di zon kuning dan merah masih dibenarkan bagi premis-premis yang menyediakan perkhidmatan perlu dan kritikal.

Setiap perkhidmatan perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Pelanggan dan pekerja juga perlu sentiasa memakai topeng muka serta mengamalkan penjarakan sosial untuk memastikan keselamatan semua pihak.

Oleh itu, bagi pelanggan yang menetap di kawasan zon kuning dan merah, anda mempunyai pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar yang boleh dilanggan tanpa keperluan pemasangan di rumah. Antaranya termasuk dengan melayari laman sesawang atau menghubungi syarikat telekomunikasi yang menawarkan pakej-pakej berkenaan.

Sumber: SKMM