Perbezaan Di Antara Google Android One Dan Android Go

Pada tahun 2014, Google telah memperkenalkan satu platform untuk peranti kelas pertengahan/bajet, dinamakan Android One. Dan tahun 2017, Google mengetengahkan pula platform yang direka khas juga untuk peranti kelas pertengahan/bajet.

Jadi apa beza antara Android One dan Android Go? Di sini kami akan cuba menerangkan perbezaan kedua-duanya untuk pemahaman bersama.



Android One

Android One adalah projek dari Google untuk perkakasan peranti yang berspesifikasi rendah dan disasarkan untuk pasaran yang sedang membangun. Secara ringkasnya, Android One dikhususkan kepada perkakasan peranti yang dipersetujui oleh Google dan dipasarkan ke negara yang sedang membangun.



Contoh paling popular adalah peranti Xiaomi Mi A1 yang menggunakan hampir sepenuhnya sistem operasi Android dan menjadi pilihan pengguna dari negara seperti India, Indonesia dan Malaysia. Peranti ini dibina sepenuhnya oleh Xiaomi dan spesifikasi perkakasan dipersetujui bersama Google.

Bukan Xiaomi Mi A1 sahaja peranti yang berada di bawah projek Android One ini malah terdapat peranti lain seperti X1 dari Sharp, U11 Life dari HTC, dan X4 dari Motorola.



Kelebihan peranti Android One ini berbanding peranti lain yang dihasilkan pengeluar seperti Samsung dan juga Huawei adalah:

ROM Android- Antaramuka yang bersih dan asli dari Google dan pengalaman menggunakan sistem operasi Android yang sebenar yang mahu ditonjolkan oleh Google.

Kemaskini keselamatan- Dengan menggunakan sistem operasi asal dari Google, kemaskini keselamatan yang penting dapat sampai ke peranti Android One dengan lebih cepat dan isu keselamatan sistem operasi dapat ditangani dengan lebih cekap

Perkakasan- Pihak Google sendiri akan menetapkan spesifikasi perkakasan untuk peranti Android One dan pihak pengeluar perlu mematuhi perkara tersebut untuk melayakkan peranti mereka mendapat program Android One.



Android Go

Android Go pula adalah cubaan Google untuk mengaplikasikan pengalaman menggunakan sistem operasi Android dengan menggunakan perisian mereka. Kemaskini terbaru Android boleh memakan ruang memori yang sangat banyak dan ada sesetengah peranti terutamanya spesifikasi peranti kelas kemasukan pasti tidak menyokong kemaskini terbaru dari Google. Android Go boleh menyokong peranti yang ruang RAM nya hanya sebesar 500 MB sahaja.

Dengan kata lain, Android Go ini merupakan versi kecil dari versi Android yang penuh dan aplikasi Google seperti Gmail, Maps dan Chrome hanya menggunakan separuh ruang memori dari apa yang digunakan oleh aplikasi penuh.



Antara ciri-ciri Android Go adalah:

Sistem operasi- sistem operasi masih lagi menggunakan Android Oreo tetapi dibina oleh Google supaya dapat berfungsi untuk peranti yang berspesifikasi rendah.

Aplikasi Google- Google mengambil versi aplikasi asal mereka dan mengubahnya supaya dapat berfungsi dengan menggunakan sumber yang sedikit. Jadi sesetengah fungsi yang terdapat dalam aplikasi penuh mungkin tidak akan ada untuk versi yang lebih kecil ini.

Google Play Store- Aplikasi ini juga akan menawarkan aplikasi lain seperti Facebook Lite yang lebih sesuai digunakan oleh Android Go demi mengekalkan prestasi peranti walaupun mempunyai spesifikasi yang rendah.