Perancis kini mencatat sejarah dengan pelancaran lebuh raya pertama di dunia yang mampu mengecas kenderaan elektrik secara tanpa wayar semasa bergerak. Projek yang dikenali sebagai “Charge as You Drive” ini dijalankan di lebuh raya A10, kira-kira 40 kilometer di barat daya Paris.
Dibangunkan oleh VINCI Autoroutes bersama syarikat teknologi, Electreon, serta rakan seperti VINCI Construction dan Universiti Gustave Eiffel, sistem ini menggunakan gegelung induksi yang tertanam di bawah permukaan jalan untuk memindahkan tenaga terus ke penerima pada kenderaan elektrik yang melaluinya.
Hasil ujian awal amat memberangsangkan di mana makmal bebas di Universiti Gustave Eiffel mengesahkan sistem tersebut mampu menjana purata kuasa melebihi 200 kW dan puncak lebih 300 kW, cukup untuk menampung keperluan lori elektrik berat di lebuh raya. Ujian juga membuktikan tahap keselamatan, ketahanan dan kebolehpercayaannya di bawah trafik sebenar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Electreon, Oren Ezer, kejayaan ini menandakan detik penting dalam pembangunan jalan elektrik global.
Teknologi ini bukan sahaja menghapuskan keperluan berhenti untuk mengecas, malah boleh mengurangkan saiz dan kos bateri, menjadikan kenderaan lebih ringan, efisien dan mesra alam.
Projek perintis sepanjang 1.5 kilometer ini disokong oleh kerajaan Perancis melalui Bpifrance dan boleh menjadi asas kepada rancangan negara itu untuk membangunkan 9,000 kilometer jalan elektrik menjelang 2035.
Selain Perancis, Electreon turut menjalankan projek serupa di Amerika Syarikat, Jerman, dan Sweden, membuktikan bahawa masa depan mobiliti mungkin benar-benar datang daripada jalan yang “mengecas” kenderaan kita sendiri. Mirip permainan Death Stranding sekiranya anda pernah main.
{suggest}
