Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Penyelidik Bangunkan Peranti Wayarles Yang Mungkin Dapat Bakar Lebihan Gula Dalam Darah Pesakit Diabetis Jenis 2

Penyelidik Bangunkan Peranti Wayarles Yang Mungkin Dapat Bakar Lebihan Gula Dalam Darah Pesakit Diabetis Jenis 2

Diterbitkan Oktober 30, 2026 oleh ariff bukhari

Diabetes jenis 2 dan obesiti atau “diabesiti” telah menjejaskan berbilion manusia dengan rawatan kini yang bergantung kepada ubat, berisiko menimbulkan kesan sampingan dan memerlukan pengambilan seumur hidup.

Dalam usaha mencari penyelesaian alternatif, penyelidik di ETH Zurich telah membangunkan satu implan elektronik inovatif yang mampu menurunkan paras gula dalam darah tanpa menggunakan insulin, ubat-ubatan atau sel hidup.

Teknologi baharu ini berfungsi menggunakan pemangkin khas yang diaktifkan secara elektrik untuk menguraikan lebihan glukosa dalam darah secara terus.

Implan tersebut yang diperbuat daripada gabungan bahan seperti grafit, emas dan platinum bertindak sebagai pemangkin.

Implan itu juga mengandungi unit kawalan elektronik yang ditempatkan di dalam sarung yang dicetak secara 3D.

Kuasa pula dibekalkan secara tanpa wayar pada frekuensi 13.56 MHz, yang ditetapkan di peringkat antarabangsa untuk kegunaan dalam bidang perindustrian, saintifik, dan perubatan.

Apabila paras gula darah meningkat, sensor glukosa akan mengesan perubahan itu dan menghantar maklumat secara tanpa wayar kepada telefon pintar atau jam tangan pintar.

Peranti ini kemudian mengaktifkan implan untuk menukarkan glukosa berlebihan kepada glukonat, sejenis bahan yang boleh disingkirkan oleh badan melalui air kencing.

Setelah paras gula kembali normal, sistem akan dimatikan secara automatik.

Penyelidik Bangunkan Peranti Wayarles Yang Mungkin Dapat Bakar Lebihan Gula Dalam Darah Pesakit Diabetis Jenis 2
Imej mikroskop elektron menunjukkan pemangkin tersebut: Struktur berbentuk sfera itu menyerupai ‘ros gurun’ dan terdiri daripada kepingan-kepingan kecil emas yang ‘ditaburi’ dengan zarah-zarah platinum. (Imej: Debasis Maity, Kumpulan Bioteknologi dan Biokejuruteraan / ETH Zurich)

Menurut pasukan penyelidik yang diketuai oleh Martin Fussenegger, profesor di Jabatan Sains dan Kejuruteraan Biosistem ETH Zurich di Basel, Switzerland, pendekatan ini berbeza daripada rawatan diabetes konvensional kerana ia tidak bergantung kepada hormon insulin atau ubat untuk mengawal metabolisme.

Sebaliknya, ia menghapuskan lebihan gula secara langsung daripada aliran darah.

 

“Selama berdekad-dekad, kita merawat diabetes dengan cara mengarahkan tubuh untuk menguruskan glukosa. Kini, kami menunjukkan bahawa kita boleh mengawal glukosa secara langsung, menggunakan peranti elektronik dan bukannya ubat-ubatan. Malah, pemangkin tersebut hanya akan aktif apabila paras glukosa terlalu tinggi.”

Penyelidik Bangunkan Peranti Wayarles Yang Mungkin Dapat Bakar Lebihan Gula Dalam Darah Pesakit Diabetis Jenis 2
Rajah di atas menunjukkan Sistem ECHO menggabungkan pemantauan glukosa berterusan dengan implan elektrokatalitik yang dikuasakan secara tanpa wayar, yang mengoksidakan glukosa berlebihan menjadi glukonat untuk disingkirkan melalui buah pinggang. Dalam subjek tikus yang mengalami diabesiti, kawalan gelung tertutup secara autonomi telah memulihkan homeostasis glukosa, mengurangkan berat badan, dan menggalakkan penggunaan lemak tanpa memerlukan ubat penurun glukosa.

Setakat ini, teknologi tersebut telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan dalam ujian makmal pada tikus yang menghidap diabetes.

Haiwan ujian itu berjaya mengekalkan paras gula darah yang lebih terkawal, mengalami penurunan berat badan dan tidak menunjukkan masalah serius terhadap implantasi peranti sepanjang tempoh kajian.

Walaupun ujian ke atas manusia masih belum dijalankan, penemuan ini membuka peluang kepada generasi baharu rawatan diabetes yang lebih pintar dan bebas ubat pada masa hadapan.

Berkaitan

  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli
  • Sony Perkenal Sensor Imej 1mm Untuk Endoskop Pakai Buang
  • Mikroskop Digital 4K EVO Cam AURA Diperkenal Untuk Industri Semikonduktor Malaysia

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • MakaKami, Direktori Baharu Yang Himpun Aplikasi Buatan Malaysia
  • MyCERT Kesan Trojan Windows Disebar Melalui WhatsApp - Fail ZIP Menyamar Sebagai Dokumen Kewangan
  • Cara Dapatkan Spotify Pelajar
  • 10 Laman Web Rujukan Akademik Yang Boleh Digunakan Pelajar
  • Reddit Bakal Utamakan Pengguna Log Masuk, Akses Tanpa Akaun Mungkin Dihadkan
  • Harga Telefon Pintar Semakin Mahal, Pengguna Terpaksa Setia Dengan Model Lama
  • Pengguna Kini Boleh Jana, Sunting Pelbagai Jenis Fail Secara Terus Dalam Gemini
©2026 WISER.MY