Penyelidik dari University of California San Diego (UC San Diego) dan Institut Penyelidikan Toyota Amerika Utara telah menghasilkan sejenis bahan pengikat atau “gam” baharu berasaskan air yang berpotensi mengubah cara bateri litium-ion dihasilkan dan dikitar semula.
Inovasi ini bertujuan mengurangkan kesan alam sekitar serta kos pengeluaran bateri yang semakin meningkat berikutan permintaan tinggi terhadap kenderaan elektrik dan sistem penyimpanan tenaga.

Dalam bateri litium-ion konvensional, bahan pengikat biasanya mengandungi fluorina dan memerlukan penggunaan pelarut toksik semasa proses pembuatan.
Selain meningkatkan kos, bahan-bahan ini juga memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi untuk proses pengeringan dan pemulihan pelarut.
Ketika proses kitar semula pula, pengikat itu pula sukar ditanggalkan dan memerlukan suhu tinggi atau bahan kimia yang agresif.
Jadi, sebagai alternatif, pasukan penyelidik ini membangunkan pengikat baharu yang terdiri daripada gabungan asid poliakrilik, karboksimetil selulosa yang berasaskan tumbuhan, serta asid sitrik.
Gabungan bahan-bahan tersebut menghasilkan struktur yang kukuh, tahan lama dan mampu mengekalkan prestasi bateri pada tahap yang tinggi, tetapi masih boleh dileraikan dengan mudah menggunakan air apabila tiba masanya untuk dikitar semula.

Hasil ujian menunjukkan bahawa bateri yang menggunakan pengikat baharu ini mampu memberikan prestasi yang setanding dengan bateri konvensional dengan dalam beberapa keadaan, ia menunjukkan pengekalan kapasiti yang lebih baik selepas melalui banyak kitaran pengecasan.
Malah, bahan pengikat ini juga serasi dengan pelbagai jenis elektrod bateri moden, termasuk bateri litium besi fosfat (LFP), katod kaya nikel, anod grafit dan anod silikon.
Ini menunjukkan potensinya untuk digunakan secara meluas dalam industri bateri.

Kelebihan utama inovasi ini ialah proses kitar semula yang jauh lebih mudah.
Elektrod bateri terpakai hanya perlu direndam dalam air untuk melarutkan pengikat tersebut, membolehkan bahan-bahan berharga dipisahkan dan digunakan semula.
Dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia berbahaya, menjimatkan tenaga serta memudahkan proses kitar semula, teknologi ini berpotensi memainkan peranan penting dalam pembangunan industri bateri yang lebih hijau pada masa hadapan.
Kemajuan kajian tersebut telah pun diterbitkan dalam Nature Communications.
Ia merupakan hasil kerjasama antara makmal Zheng Chen, seorang profesor di Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Nano Keluarga Aiiso Yufeng Li di Sekolah Kejuruteraan Jacobs, UC San Diego dengan John Muldoon daripada Toyota Research Institute of North America.
