Penstriman Netflix Pada Peranti Android Kini Lebih Jimat Data Dengan Codec AV1 Baharu

Hari ini Netflix mengumumkan bahawa mereka telah memulakan penstriman melalui format AV1 pada peranti Android. Format codec baharu ini menawarkan sehingga 20% penjimatan data berbanding format lama VP6 sebelumnya di Netflix.

Codec ini hanya khusus untuk mod jimat data dan juga untuk tajuk Netflix yang terpilih sahaja setakat ini. Dengan mengaktifkan mod 'Save Data' pada tetapan aplikasi, media akan dimainkan secara automatik dalam format AV1.

Walaupun hanya untuk Android sahaja buat masa ini, Netflix juga dilihat akan menawarkan ciri Av1 yang sama untuk kesemua platform pengguna mereka pada masa hadapan. Semestinya akan terdapat peningkatan kadar penjimatan data internet terutamanya untuk pengguna yang menonton Netflix melalui pelan data terhad.

Sumber: Netflix