Penduduk Kiulu Di Daerah Tuaran, Sabah Kini Mendapat Capaian 4G

Berita gembira untuk penduduk di Kiulu kerana mereka kini telah mendapat capaian rangkaian 4G.

Ia pastinya amat ditunggu oleh para penduduk di situ kerana sebelum ini, daerah Kiulu hanya mempunyai liputan radio Spotty yang disokong dengan perkhidmatan 3G sahaja.

Kiulu merupakan sebuah pekan kecil yang berada di bawah daerah Tuaran, Pantai Barat Sabah.

Ia dimaklumkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini.

Tidak terhenti setakat itu, usaha memperluaskan liputan 4G masih sedang giat dilaksanakan di enam lokasi utama di Kiulu iaitu di Pukak, Lokub, Mantob, Kitapol, Kampung Sinorut dan Kampung Gonipis.

Perluasan liputan 4G di daerah tersebut dilakukan bersamaan proses penyambungan gentian optik di kesemua menara pemancar di lokasi berkenaan yang melibatkan hampir 39 kilometer gentian optik.

Proses berkenaan dijangka siap pada akhir tahun 2020. Usaha penambahbaikan infrastruktur digital ini menggunakan dana Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).

Perluasan liputan 4G ini sekaligus akan merancakkan lagi aktiviti  ekonomi, dan ekopelancongan di Kiulu yang terkenal dengan aktiviti sukan sungainya.