Pelindung Kamera Melebihi 0.1mm Pada MacBook Boleh Merosakkan Paparan Skrin

Apple mengingatkan pengguna untuk tidak menutup MacBook, MacBook Air atau MacBook Pro dengan pelindung kamera yang terpasang. Ini kerana, menggunakan pelindung kamera mungkin akan menyebabkan paparan komputer riba MacBook mengalami kerosakan berikutan paparan dan papan kekunci direka rapat antara satu sama lain.

Bukan itu sahaja, menutup kamera terbina itu juga mungkin akan mengganggu sensor ambient light dan menyebabkan ciri seperti kecerahan automatik dan True Tone gagal berfungsi.



Sebagai alternatif, Apple mencadangkan untuk menggunakan lampu indikator kamera bagi melihat jika kamera tersebut diaktifkan atau sebaliknya. Kamera tersebut direka dengan ciri yang tidak membenarkan ia diaktifkan tanpa lampu indikator yang menyala.

Oleh itu, pengguna akan sentiasa mengetahui apabila kamera diaktifkan yang seterusnya dapat melindungi privasi pengguna.

Bagaimanapun, jika pengguna masih ingin memasang pelindung kamera untuk tujuan tertentu, Apple meminta pengguna memasang pelindung kamera yang mempunyai ketebalan kurang daripada 0.1mm. Jika menggunakan pelindung kamera yang melebihi 0.1mm, pengguna diminta untuk menanggalkannya sebelum menutup komputer tersebut.

Sumber: Apple