Pelajar sekolah menengah dari pasukan InnovateZ yang mewakili Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk, Perak, diangkat sebagai juara keseluruhan pertandingan Samsung Solve for Tomorrow 2026 menerusi ciptaan peranti pintar mereka, TheVisionSense.
Inovasi peranti boleh pakai (wearable) tersebut menggabungkan penderia LiDAR dan ultrabunyi bagi mengesan halangan serta memberikan amaran audio masa nyata yang direka khusus untuk membantu individu yang baru mengalami masalah penglihatan untuk bergerak dengan lebih selamat dan berdikari.
Atas kejayaan cemerlang itu, Pasukan InnovateZ membawa pulang hadiah berupa barangan produk Samsung bernilai sehingga RM47,000.

Naib juara jatuh kepada Pasukan iSafePath menerusi ciptaan sistem keselamatan lintasan pejalan kaki iSafePath 2.0, sekali gus membawa pulang produk Samsung bernilai RM30,000.
Manakala Pasukan Replast pula meraih tempat ketiga menerusi inovasi bata kitar semula plastik dengan membawa pulang produk bernilai RM19,000.
Tempat keempat dan kelima masing-masing dimenangi oleh Pasukan EcoTerraNitro dan Pasukan Primates dengan masing masing membawa pulang produk Samsung bernilai RM10,000 sehingga RM8,000.

Program pertandingan anjuran Samsung Malaysia Electronics dengan kerjasama Universiti Malaya ini bertujuan memperkasa pelajar berusia 13 hingga 15 tahun mengaplikasikan kemahiran STEM bagi menyelesaikan masalah dalam cabaran dunia sebenar.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan seramai 424 pelajar menerusi 106 penyertaan pasukan dari seluruh negara merangkumi empat tema iaitu Kelestarian Alam Sekitar, Sukan dan Teknologi, Kesihatan serta Pendidikan.
