PayNet kini memperluas penggunaan DuitNow QR ke lima destinasi luar negara melalui Alipay+, membolehkan pengguna aplikasi perbankan Malaysia yang menyokong kemudahan ini membuat pembayaran di China, Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Korea Selatan, Filipina dan Laos.
Di lima destinasi berkenaan, pengguna boleh membuat pembayaran di premis peniaga yang menyokong Alipay+ dengan mengimbas kod QR yang memaparkan logo Alipay+ melalui aplikasi perbankan masing-masing. Transaksi boleh disemak dan disahkan dalam aplikasi yang sama, tanpa perlu memuat turun aplikasi pembayaran lain atau membuka akaun Alipay+.
Buat masa ini, Maybank, CIMB dan Hong Leong Bank merupakan tiga bank terawal yang menawarkan kemudahan tersebut. Bank Islam pula dijangka menyusul tidak lama lagi.
PayNet turut memaklumkan lebih banyak aplikasi perbankan dan destinasi akan ditambah secara berperingkat.

Peluasan ini merupakan kesinambungan kerjasama PayNet dengan Ant International melalui Alipay+. Sejak November 2023, pelancong yang menggunakan dompet digital rakan Alipay+ yang menyokong kemudahan berkenaan boleh membuat pembayaran di premis peniaga DuitNow QR di Malaysia.
Menurut PayNet, hampir 30 juta transaksi rentas sempadan direkodkan sepanjang 2025, meningkat kira-kira 150% berbanding 2024. Transaksi yang melibatkan China menyumbang sebahagian besar daripada pertumbuhan tersebut.
