Maybank kini memperluas kemudahan pembayaran QR rentas sempadan dalam aplikasi MAE menerusi integrasi dengan Alipay+, membolehkan pengguna membuat pembayaran di lima destinasi baharu menggunakan fungsi Scan & Pay.
Lima destinasi baharu itu ialah China, Korea Selatan, Hong Kong, Filipina dan Laos. Sebelum ini, pembayaran QR melalui aplikasi MAE sudah pun tersedia di Singapura, Thailand dan Indonesia.
Untuk membuat pembayaran, pengguna hanya perlu menggunakan fungsi ‘Scan & Pay’ dalam aplikasi MAE, tanpa perlu memuat turun aplikasi lain atau mendaftar akaun Alipay+. Sebelum mengesahkan transaksi, pengguna juga boleh menyemak jumlah bayaran dalam mata wang tempatan dan Ringgit Malaysia.

Selain memperluas kemudahan pembayaran QR di luar negara, Maybank turut menambah pilihan mata wang dalam Global Access Account-i melalui aplikasi MAE. Mulai 19 November 2026, akaun ini akan menyokong lima mata wang tambahan, iaitu Rupiah Indonesia, Baht Thailand, Yuan China, Riel Kemboja dan Dong Vietnam, menjadikan jumlah keseluruhan mata wang yang disokong sebanyak 23.
Maklumat lanjut mengenai pembayaran QR melalui MAE boleh didapati di maybank.my/crossborder, manakala butiran mengenai Global Access Account-i boleh dirujuk di maybank.my/globalaccess.
