Ratusan pekerja di gergasi cip memori Micron Technology berhimpun pada Khamis sambil mengugut untuk melancarkan mogok selepas menolak tawaran bonus syarikat AS itu yang memberikan sehingga 68 bulan gaji kerana dianggap tidak mencukupi.
Syarikat cip global seperti Micron menjadi penerima manfaat utama daripada lonjakan permintaan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI), namun ketika perolehan mereka melambung tinggi, ramai pekerja menuntut bahagian keuntungan yang lebih besar.
Micron, yang menghasilkan sekitar 50 hingga 60 peratus cipnya di Taiwan, kini berada dalam kancah perundingan mengenai ganjaran bersama dua kesatuan pekerja yang mewakili hampir 12,000 daripada 15,000 pekerja di kilang Taoyuan dan Taichung.
Syarikat itu mengumumkan secara terbuka minggu lalu bahawa pekerja di Taiwan akan menerima “jumlah ganjaran setara 35 hingga 68 bulan gaji, dengan pampasan tunai minimum bernilai NT$1.7 juta” (~RM220,000) bagi tahun kewangan 2026.
Walau bagaimanapun, pekerja yang berhimpun di gelanggang bola keranjang bertentangan dengan kilang Taoyuan menyatakan bahawa pakej tersebut masih tidak mencukupi.
“Saya merasakan ini adalah sesuatu yang wajar kami terima, jadi kami mesti mempertahankannya — bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk seluruh pekerja di Taiwan,” kata seorang juruteknik pengeluaran yang menyertai perhimpunan kesatuan selepas tamat waktu kerja, dengan hanya memperkenalkan dirinya sebagai Lin.
Pihak kesatuan menyatakan mereka akan melancarkan mogok sekiranya perundingan bersama pihak pengurusan Micron yang diantarakan oleh kerajaan — yang bermula pada awal September, menemui jalan buntu.
Kesatuan itu menuntut bonus secara ‘one-off’ sebanyak 83 bulan gaji serta sistem tetap yang memperuntukkan 15 peratus daripada keuntungan kendalian syarikat sebagai bonus pekerja yang diagihkan secara suku tahunan, bukannya tahunan.
‘Perlumbaan menentang masa’
Tsai, seorang jurutera berusia 40-an, memberitahu AFP bahawa tawaran Micron “tidak mencapai jangkaan” memandangkan lonjakan keuntungan besar yang diraih syarikat itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kami sememangnya berharap dapat berunding melalui kesatuan mengikut saluran yang adil dan sah untuk memperjuangkan bonus yang sewajarnya,” kata Tsai, yang hanya memberikan nama keluarganya.
Pekerja Micron turut merasakan bahawa tahap bonus mereka jauh lebih rendah berbanding pesaing seperti SK Hynix dan Samsung.
“Micron sepatutnya melihat bagaimana pesaing industri melayan pekerja mereka,” kata jurutera berusia 49 tahun, Ken Wu.
“Hanya dengan cara itu Micron akan menjadi lebih berdaya saing dan mampu menarik lebih ramai bakat terbaik.”
Tuntutan ahli kesatuan ini menyusul pertikaian buruh baru-baru ini di Korea Selatan, yang mana Samsung Electronics berjaya mengelakkan mogok selepas bersetuju dengan perjanjian untuk mengagihkan bonus setara dengan 10.5 peratus daripada keuntungan kendalian kepada pekerja semikonduktor mereka.
Permintaan yang sangat tinggi terhadap komponen silikon yang digunakan dalam pusat data AI, terutamanya cip memori yang mengalami kekurangan bekalan telah menyebabkan hasil lonjakan melonjak bagi syarikat yang mereka bentuk, mengeluarkan, dan memasangnya.
Neil Shah, pengasas bersama Counterpoint Research, memberitahu AFP bahawa Micron sedang berlumba dengan pesaing utamanya dari Korea Selatan, Samsung dan SK Hynix, untuk menguasai bahagian pasaran cip memori.
“Sesiapa yang mempunyai kapasiti tertinggi akan menguasai bahagian terbesar, kerana kapasiti adalah kekangan utama ketika ini,” kata Shah, sambil menambah bahawa tenaga kerja Micron di Taiwan adalah “sangat penting” dalam mengekalkan momentum tersebut.
“Micron perlu mencari jalan penyelesaian,” katanya, terutamanya apabila “Samsung telah menetapkan piawaian industri.”
Micron memaklumkan bahawa lebih daripada NT$1.6 trilion (~RM207 bilion) telah dilaburkan di Taiwan, sambil menyifatkan pulau tersebut sebagai “hab kritikal” mereka.
Syarikat berkenaan mencatatkan rekor hasil tertinggi mencecah US$41.5 bilion (~RM175 bilion) bagi tempoh tiga bulan yang berakhir pada Mei lalu. – AFP
{suggest}
