Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Pecut Sekali-Sekala Boleh Panjangkan Hayat Bateri EV – Kajian

Posted on Julai 2, 2025Julai 3, 2025

Satu kajian terbaru telah membuat penemuan yang agak mengejutkan berkaitan bateri EV iaitu memecut secara mengejut kereta elektrik (EV) anda sekali-sekala sebenarnya boleh memberikan manfaat kepada kesihatan jangka panjang bateri.

Ini sekali gus bertentangan dengan tanggapan biasa bahawa memandu dengan perlahan dan bergerak pada kelajuan tetap sentiasa lebih baik untuk prestasi dan ketahanan bateri.

Kajian yang dibuat oleh penyelidik Stanford bertajuk “Dynamic cycling enhances battery lifetime“ itu mendapati, gaya pemanduan yang lebih bertenaga—seperti memecut, membrek secara regeneratif, dan pemanduan campuran antara bandar dan lebuhraya, boleh memanjangkan jangka hayat bateri EV.

Menurut penyelidik Stanford, kaedah yang dikenali sebagai “dynamic cycling“, iaitu penggunaan kuasa yang pelbagai seperti memecut dan tidak konsisten (pemanduan campuran) adalah paling baik untuk kesihatan bateri yang boleh membantu melambatkan proses degradasi bateri.

Malah, hasil ujian ke atas 92 sel bateri dengan corak pemanduan yang aktif ini menunjukkan peningkatan hayat sehingga 38% lebih lama berbanding pemanduan yang konsisten dan perlahan (seperti hanya memandu di lebuhraya).

Menjelaskan keadaan ini, penyelidik berkata bahawa variasi dalam penggunaan kuasa membantu bateri berfungsi secara lebih seimbang dan mengelakkan tekanan berterusan pada satu bahagian sistem sahaja.

Sebaliknya, jika bateri sentiasa digunakan secara perlahan atau pada kadar tetap, ia boleh menyebabkan bahagian tertentu menjadi lemah dengan lebih cepat.

Kajian ini menunjukkan bahawa konsep “Italian tune-up” (pecutan untuk bersihkan sistem) sebagai masih relevan walaupun ke atas kenderaan elektrik.

Namun, ini tidak bermakna pengguna EV perlu memecut agresif sepanjang masa.

Kuncinya ialah kepelbagaian dalam gaya pemanduan. Perjalanan dalam trafik, pecutan ringan, brek mengejut, dan corak pemanduan harian yang tidak konsisten secara semula jadi sudah cukup untuk menyumbang kepada penjagaan bateri EV anda.

{suggest}

Sumber: Inside EVs

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress