Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Orbit Bumi Semakin Sesak, Kini Jadi “Tapak Pelupusan Sampah” Moden

Orbit Bumi Semakin Sesak, Kini Jadi “Tapak Pelupusan Sampah” Moden

Diterbitkan Ogos 7, 2026 · Dikemas kini Ogos 7, 2026 oleh ariff bukhari

Di bawah bayangan piring pemancar satelit yang luas, para petugas di Observatori Chilbolton di selatan England menjejak jumlah objek yang semakin meningkat di orbit Bumi, sekali gus membekalkan data yang menjadi teras kepada usaha pemantauan angkasa lepas Britain.

Sebaik sahaja antena gergasi itu mula berputar dan beroperasi, skrin di dalam bilik kawalan mula menyala menampilkan nama-nama objek yang dikesan oleh sistem radar: bintang, satelit, serta bahagian roket yang ditinggalkan.

Pakar-pakar di Observatori Chilbolton, yang dikendalikan oleh makmal angkasa lepas kebangsaan UK, RAL Space, memantau satelit-satelit berlesen UK dan serpihan sisa angkasa lepas yang bertebaran pantas mengelilingi satelit-satelit berkenaan.

Sisa angkasa lepas itu merangkumi objek buatan manusia yang tidak lagi berfungsi seperti bahagian roket, satelit terpakai, dan serpihan daripada pelancaran, letupan, serta perlanggaran yang mengancam untuk memasuki semula atmosfera Bumi atau menghentam satelit yang masih berfungsi.

Menurut Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA), kini terdapat lebih 46,000 serpihan sisa dengan jumlah berat keseluruhan mencecah 17,000 tan berada di orbit.

“Kebanyakan sisa itu tidak melanggar apa-apa pada sebahagian besar masa,” kata Matthew Archer, timbalan pengarah pelancaran dan kesedaran domain angkasa lepas di Agensi Angkasa Lepas UK kepada AFP semasa lawatan ke observatori tersebut.

“Namun, mana-mana satu daripadanya boleh menyebabkan kerosakan signifikan atau merosakkan satelit yang berpotensi.”

Pada Rabu, sebahagian daripada roket SpaceX bersaiz sebesar bas telah mengentam Bulan, sekali gus melepaskan aliran serpihan baharu.

Para penyelidik memberi amaran bahawa kepadatan sisa angkasa yang kian meningkat boleh mencetuskan tindak balas berantai perlanggaran yang dikenali sebagai “sindrom Kessler”.

‘Pemerhatian Menyeluruh’

Observatori Chilbolton menyalurkan data kepada Pusat Operasi Angkasa Lepas Kebangsaan (NSpOC) — yang dipimpin oleh Agensi Angkasa Lepas UK dan Perintah Angkasa Lepas UK — yang bekerja sepanjang masa bagi mengelakkan perlanggaran di orbit serta menjejak sisa yang memasuki semula atmosfera Bumi.

“Peranan kami adalah untuk melihat setiap perkara yang berlaku dan berada di angkasa lepas,” kata Archer.

Infrastruktur angkasa lepas menyokong sekitar 20 peratus daripada ekonomi UK, kata Archer.

“Jumlah objek yang semakin bertambah menyebabkan angkasa lepas menjadi jauh lebih padat, jadi keperluan untuk keupayaan ini kian meningkat dari semasa ke semasa.”

Semasa beliau bercakap, beberapa peranti Starlink — sebahagian daripada gugusan ribuan satelit internet yang dilancarkan oleh konglomerat AS Elon Musk menerusi SpaceX, kelihatan melintas pada skrin bilik kawalan.

Kini terdapat 14,000 satelit mengorbit Bumi, dengan kira-kira 1.7 juta satelit dirancang untuk dilancarkan dalam tahun-tahun mendatang.

SpaceX sahaja telah mendedahkan rancangan untuk mula melancarkan lebih satu juta satelit bermula tahun 2028.

UK telah berikrar untuk melabur £85 juta (~RM501.5 juta) dalam NSpOC, yang mengeluarkan kira-kira 3,000 amaran perlanggaran setiap bulan kepada pengendali satelit.

Para penyelidik juga memantau bagi memastikan pengendali satelit mematuhi lesen mereka serta menjejak “musuh” luar negara.

“Kami melihat contoh negara-negara yang telah menunjukkan keupayaan untuk mendekati atau terbang berhampiran objek tertentu,” kata Archer. “Kami sememangnya perlu menjejak … ancaman secara berkala dari sudut pandangan ketenteraan.”

Apabila sisa angkasa lepas memasuki semula atmosfera, para saintis bersiap sedia untuk mengeluarkan amaran bagi objek yang mungkin tidak terbakar sepenuhnya sebelum terhempas ke daratan.

Pada Januari, Britain dan negara-negara Eropah memantau rapat kemasukan semula roket China, di tengah-tengah kebimbangan bahawa serpihannya boleh mendarat di Britain.

Roket tersebut akhirnya terhempas ke dalam Lautan Pasifik.

Asteroid

“Keseluruhan persekitaran kini sedang berubah,” kata ketua kemudahan Observatori Chilbolton, Sarah Nash. “Ia benar-benar satu persekitaran pelbagai negara dan terdapat terlalu banyak objek yang tidak boleh dikawal.”

“Satu-satunya cara untuk membolehkan semua ini terus beroperasi secara selamat adalah dengan sentiasa menjejak kedudukan setiap objek,” beritahu Nash kepada AFP.

Satu lagi cabang tugas mereka ialah pertahanan planet, yang melibatkan pengenalpastian ancaman seperti komet dan asteroid.

Tahun lalu, Agensi Angkasa Lepas UK menjadi ahli Rangkaian Amaran Asteroid Antarabangsa (IAWN), memantau pergerakan asteroid termasuk yang berpotensi menghentam Bumi.

“Kami bekerjasama dengan NASA dan pihak lain di AS untuk memberikan peratusan kebarangkalian secara efektif sama ada (ia) boleh menderap Bumi dan bila ia mungkin berlaku,” kata Archer.

Meskipun batu angkasa yang lebih kecil kerap terbakar di atmosfera Bumi, batu orbit gergasi seperti asteroid adalah lebih jarang berlaku.

UK bakal menyokong misi Agensi Angkasa Lepas Eropah pada tahun 2029 untuk mempelajari asteroid selebar 375 meter (1,230 kaki) yang dipanggil Apophis semasa ia melintas berhampiran Bumi.

“Asteroid merupakan cabaran yang sangat menarik dalam pelbagai sudut. Jarang sekali ada asteroid yang muncul secara tiba-tiba tanpa dikesan,” jelas Nash.

Batu-batu gergasi angkasa lepas ini umumnya dipantau oleh sensor optik, kerana kedudukannya terlalu jauh untuk dikesan oleh piring radar Chilbolton.

“Jika ia berada cukup dekat untuk dikesan oleh antena (radar), maknanya kita mempunyai masalah yang lebih besar,” seloroh pengurus stesen, Graham Marshall. – AFP

Berkaitan

  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli
  • Selepas Terbang Hampir 20 Jam Tanpa Henti Dari Perancis, Pesawat Ini Akhirnya Selamat Mendarat Di Australia
  • NASA WB-57 Akan Kejar Bayang-Bayang Bulan Semasa Gerhana Matahari Penuh Pada 12 Ogos 2026

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Pulau Pinang Sedang Bangunkan Pulau Silikon, Bakal Tawar 220,000 Peluang Pekerjaan
  • 3 Headphone ANC Bawah RM200
  • Kadar Tambang ECRL Akan Diumumkan Menjelang Akhir Oktober - Operasi Disasar Bermula Pertengahan Disember
  • Tiket Tonton Filem Dan Teater Di Wilayah Persekutuan Dikecualikan Duti Hiburan
  • Belanjawan 2027: Belia Lengkapkan Jam Sukarelawan Layak Terima RM100 E-Dompet Secara 'One-Off'
  • Belanjawan 2027: Kerajaan Tambah 100,000 Langganan AI Percuma, Termasuk ChatGPT
  • TNB Labur RM15 Bilion Perkukuhkan Grid Nasional
  • Belanjawan 2027: NSRC Akan Bangunkan Aplikasi AI, Bantu Pengguna Semak Butiran Mencurigakan
©2026 WISER.MY