OPPO Sahkan Pelancaran Global Jam Pintar Pada 6 Mac

OPPO sebelum ini telah mengumumkan pelancaran siri Find X iaitu Find X2 pada 6 Mac ini. Kini, melalui satu ciapan di akaun Twitter OPPO, syarikat itu turut mengesahkan akan melancarkan jam pintar OPPO Watch pada tarikh yang sama.


Masih banyak yang belum diketahui mengenai OPPO Watch, termasuk harga atau fungsi yang terdapat pada jam pintar ini. Namun, melalui imej yang didedahkan, pengguna boleh menggunakan jam pintar ini untuk membuat dan menerima panggilan serta terdapat pilihan untuk menghantar mesej kepada pemanggil.

Jam pintar ini juga kelihatan sedikit berbeza daripada Apple Watch. Walaupun binaannya kelihatan sama, namun tiada tombol yang berfungsi seperti Digital Crown pada Apple Watch. Selain itu, OPPO Watch hadir dengan 2 butang di bahagian sisi kanan. Pilihan warna dan tali jam pintar tersebut juga adalah berbeza daripada Apple Watch.

Terdahulu, Brian Shen yang juga merupakan Naib Presiden OPPO, telah berkongsi imej jam pintar tersebut yang menunjukkan paparan skrin kaca 3D yang melengkung. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai OPPO Watch, nantikan pelancaran global jam pintar ini pada 5.30 petang, 6 Mac ini.

Sumber: Twitter OPPO