Syarikat kecerdasan buatan (AI) Sam Altman, OpenAI kini memberi isyarat jelas bahawa masa depan bukan sekadar membangunkan chatbot dan model AI, tetapi juga robot pintar yang mampu berinteraksi dengan dunia sebenar.
Menurut laporan, OpenAI menawarkan gaji sehingga $500,000 (~RM2.1 juta) kepada jurutera dalam usaha syarikat AI terkenal itu memperluaskan pasukan robotiknya dengan ketara.
Pelbagai jawatan baharu lain yang turut ditawarkan termasuklah merangkumi bidang kejuruteraan perkakasan, perisian, pembelajaran mesin serta operasi makmal dengan gaji asas yang ditawarkan bermula dari $177,000 (~RMRM761,000) sehinggalah mencecah AS$500,000 setahun (~RM2.1 juta).
Malah jumlah itu tidak termasuk saham syarikat dan bonus prestasi.
Antara jawatan paling lumayan ialah pembangunan infrastruktur AI untuk robot, yang bertanggungjawab mengurus serta memproses data latihan berskala besar.
Berbeza dengan model AI yang dilatih menggunakan teks dan imej internet, robot memerlukan data dunia sebenar melibatkan pergerakan manusia, objek dan persekitaran fizikal.
Lebih menarik, OpenAI menyatakan visinya untuk membangunkan robot serba guna yang suatu hari nanti boleh membantu tugas harian manusia.
Sam Altman turut mengesahkan bahawa syarikat itu akan membangunkan robot humanoid serta platform robotik lain untuk pelbagai kegunaan.
Langkah ini menunjukkan bahawa perlumbaan AI kini memasuki fasa baharu, iaitu menggabungkan kecerdasan digital dengan keupayaan fizikal, sekali gus membuka jalan kepada era AI fizikal menerusi robot pembantu peribadi pada masa hadapan.
