Google mengumumkan pada Khamis bahawa ia akan mula memaparkan pautan ke laman web dan artikel secara lebih menyerlah dan di kedudukan lebih atas dalam keputusan carian berteraskan kecerdasan buatan (AI), berikutan amaran daripada jenama serta penerbit berita mengenai penurunan mendadak aliran trafik mereka.
Anak syarikat Alphabet itu mula menyepadukan lebih banyak ciri AI dalam keputusan cariannya sejak lebih dua tahun lalu.
Pada Mei 2024, ia melancarkan AI Overviews, di mana Google menjana ringkasan jawapan bagi pertanyaan carian, berbanding hanya memaparkan pautan seperti yang dilakukan secara tradisi.
Kemudian pada Mac 2025, Google menambah AI Mode yang dibuka dalam tetingkap berasingan bagi menyediakan jawapan yang lebih menyeluruh berserta lebih banyak pautan berbanding AI Overviews.
Kini, pautan berkonteks akan dipaparkan dengan “lebih kerap” dan di kedudukan lebih atas dalam kandungan carian janaan AI.
Google juga akan memperluas paparan pautan jenis carousel ke seluruh dunia, iaitu kad yang dipaparkan di bahagian bawah AI Overviews yang menunjukkan tajuk berita berserta gambar bagi artikel berkaitan.
Algoritma tersebut akan memberi keutamaan kepada artikel daripada laman web yang telah dikenal pasti oleh pengguna sebagai “sumber pilihan”, di samping berupaya menarik kandungan daripada hantaran media sosial berkaitan serta forum lain.
Google turut akan menjadikan pautan yang dipaparkan pada penghujung ringkasan janaan AI “lebih menarik dan menyerlah” buat pengguna yang mahu meneroka maklumat dengan lebih mendalam.
Semasa pengumuman keputusan suku kedua 2025, CEO Alphabet Sundar Pichai menyatakan bahawa AI Overviews telah mempunyai lebih dua bilion pengguna bulanan di lebih 200 buah negara.
Beberapa kajian menunjukkan bahawa tindakan menggantikan carian tradisional dengan ringkasan AI telah mengurangkan secara signifikan kadar pengguna membuka pautan yang dicadangkan.
Menurut laporan oleh firma perunding Chartbeat, penerbit laman web berita mencatatkan kejatuhan trafik sebanyak 40 peratus daripada Google antara Julai 2025 hingga Julai 2026.
Pada Ogos, Apig, sebuah kumpulan yang mewakili akhbar harian di Perancis, telah memberi amaran kepada Pihak Berkuasa Persaingan bahawa ringkasan AI telah melanggar perjanjian yang dicapai bersama penerbit berita pada tahun 2022. – AFP
