OpenAI akan menyatukan had penggunaan ChatGPT dan Codex di bawah satu kuota bersama mulai Disember 2026. Ia melibatkan pelanggan pelan berbayar Plus, Pro dan Business.
Perkara itu dinyatakan dalam halaman bantuan rasmi OpenAI yang telah dikemas kini. Menurut syarikat itu, perubahan ini dibuat seiring usaha membawa keupayaan agentic ChatGPT Work ke dalam pengalaman utama ChatGPT.

Ketika ini, Codex sudah berkongsi kuota dengan ChatGPT Work, ChatGPT for Excel dan workspace agents, manakala chat biasa mempunyai had tersendiri. Di bawah sistem baharu, penggunaan chat dan Codex akan ditolak daripada kuota yang sama.
Penggunaan akan diukur berdasarkan token, iaitu unit teks yang diproses dan dijana oleh model AI. Model yang lebih canggih dan tugasan yang lebih kompleks secara umumnya akan menggunakan lebih banyak kuota.
Bagaimanapun, chat menggunakan mod Instant tidak akan ditolak daripada kuota bersama tersebut. Dalam e-mel kepada pelanggan, OpenAI menyatakan penggunaan Instant tanpa had kekal termasuk dalam pelan langganan.

Syarikat itu turut menjangkakan kebanyakan pengguna tidak perlu menunggu reset kuota dengan lebih kerap berbanding sekarang.
Baki kuota gabungan serta masa reset boleh disemak menerusi Settings > Usage. Sekiranya kuota habis, pengguna boleh menunggu reset, menaik taraf pelan atau membeli kredit tambahan untuk terus menggunakan ciri yang layak.
Namun, OpenAI masih belum mendedahkan jumlah token yang diperuntukkan bagi setiap pelan di bawah sistem baharu ini.
Dalam perkembangan berkaitan, OpenAI memaklumkan menerusi e-mel bahawa ia akan mula menguji pengalaman gabungan tab Chat dan Work bersama sekumpulan kecil pengguna dalam beberapa minggu akan datang.
Melalui pengalaman tersebut, pengguna boleh bermula dengan meneroka idea dalam perbualan sebelum meminta ChatGPT melaksanakan tugasan. Antaranya membina laman web, menghasilkan pembentangan atau melakukan kerja di web, tanpa perlu bertukar tab. Pengguna juga boleh menggunakan fail dan plugin sambil menyemak serta membimbing kerja ChatGPT sepanjang proses itu.
Codex pula akan kekal sebagai pengalaman berasingan dalam aplikasi desktop ChatGPT.
OpenAI berkata maklum balas daripada kumpulan pengguna awal akan digunakan untuk menambah baik pengalaman tersebut sebelum ia diperluaskan kepada lebih ramai pengguna.
