Anthropic memberitahu para pelabur pada Rabu bahawa hasil pendapatannya melonjak sekitar 50 peratus kepada $16.8 bilion (~RM73) bilion pada suku yang berakhir September lalu, di samping mencatatkan keuntungan atas dasar terlaras (adjusted basis) sepanjang enam bulan sebelumnya, menurut laporan media AS.
Makmal kecerdasan buatan (AI) yang berpangkalan di San Francisco itu kini berada pada landasan pantas menuju tawaran awam permulaan (IPO) yang amat dinantikan, di mana ia dijangka menyasarkan penilaian syarikat sebanyak $2 trilion.
Nilai ini bakal mengatasi rekod penilaian $1.8 trilion yang dipegang oleh SpaceX semasa kemunculan julung kalinya pada Jun lalu.
Anthropic dilaporkan menyasarkan untuk melaksanakan IPO berkenaan pada November, selepas pilihan raya pertengahan penggal AS.
Syarikat tersebut telah mengadakan mesyuarat tertutup bersama para pelabur pada Rabu di ibu pejabatnya di San Francisco, menurut laporan Financial Times dan Bloomberg yang memetik perincian daripada mesyuarat berkenaan.
Pembentangan pelabur tersebut merangkumi kemas kini tentang kewangan syarikat yang dikira atas dasar terlaras, satu kaedah yang lazim digunakan oleh syarikat dengan mengecualikan kos-kos tertentu.
Anthropic memaklumkan kepada pelabur bahawa ia mencatatkan aliran tunai bebas positif dan margin operasi terlaras sebanyak 11 peratus bagi suku ketiga.
Walau bagaimanapun, syarikat itu turut merekodkan kerugian bersih sebanyak $42 bilion pada tahun lalu dan percaya ia sedang bersaing dalam pasaran bernilai $30 trilion, menurut laporan sebelum ini.
Hasil tahunan disetahunkan (annualized revenue) syarikat mencecah $65 bilion pada awal tahun ini, satu angka yang dijangka boleh mencapai $100 bilion (~RM430 bilion) menjelang akhir tahun 2026, menurut New York Times.
Pencapaian itu mengatasi pesaing utamanya, OpenAI, yang mencatatkan hasil tahunan disetahunkan sebanyak $50 bilion, seperti yang dilaporkan oleh Axios minggu lalu.
Meskipun kadar hasil disetahunkan bertujuan untuk mengunjurkan pendapatan masa hadapan sesebuah syarikat berasaskan jualan semasa, kedua-dua syarikat menggunakan kaedah berbeza untuk mengira angka tersebut, sekali gus menyukarkan perbandingan secara langsung dibuat.
Anthropic membangunkan model dan produk AI di bawah jenama utamanya yang dikenali sebagai Claude.
Manakala OpenAI pula membangunkan bot sembang AI popular yang dikenali sebagai ChatGPT, serta telah menangguhkan pelaksanaan IPO mereka sehingga tahun 2027. – AFP
