Nisbah Lelaki Di Malaysia Masih Lebih Ramai Dari Wanita Kecuali Bagi 2 Negeri - DOSM

Berdasarkan kepada laporan statistik terkini berkaitan Anggaran Penduduk Semasa, Malaysia, 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penduduk Malaysia pada 2023 dianggarkan berjumlah 33.4 juta berbanding 32.7 juta pada 2022 dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan 2.1%.




Anggaran penduduk semasa ini adalah berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia, 2020. Anggaran penduduk ini menggunakan kaedah komponen kohort yang meliputi kelahiran, kematian, migrasi dalaman dan migrasi antarabangsa.




Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, "Peningkatan kadar pertumbuhan penduduk ini disebabkan oleh pertambahan bilangan penduduk Bukan Warganegara yang lebih tinggi iaitu meningkat daripada 2.5 juta (2022) kepada 3.0 juta (2023). Penduduk Warganegara meningkat daripada 30.2 juta pada 2022 kepada 30.4 juta pada 2023 dengan pertumbuhan yang kecil iaitu 0.7 peratus (2022: 0.6%)”.




Peningkatan kadar pertumbuhan penduduk ini turut berlaku di beberapa negara lain seperti Singapura (3.4%), Australia (1.9%), Jerman (1.3%), Kanada (0.7%) dan Amerika Syarikat (0.5%).



Tambah DOSM lagi, lelaki masih melebihi perempuan pada 2023 iaitu masing-masing 17.5 juta dan 15.9 juta. Nisbah jantina bagi keseluruhan penduduk ialah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Bagi tempoh 2022-2023, nisbah jantina Warganegara kekal pada 103 manakala Bukan Warganegara menurun daripada 227 kepada 226 lelaki bagi setiap 100 perempuan.




Secara keseluruhan, kesemua negeri di Malaysia mencatatkan lelaki melebihi perempuan kecuali bagi negeri Perlis (99) dan W.P. Putrajaya (98). Negeri yang mencatatkan nisbah jantina tertinggi adalah W.P. Kuala Lumpur dengan 115 lelaki bagi setiap 100 perempuan diikuti oleh Johor (114), Pahang (113) dan Selangor (113).




{suggest}

Sumber: DOSM,

Kredit imej utama: Ihsan Adityawarman