Netflix hari ini mengumumkan syarikat itu menolak untuk meningkatkan tawaran bagi pengambilalihan Warner Bros.
Keputusan ini dibuat selepas Warner Bros. Discovery (WBD) memaklumkan bahawa cadangan terkini Paramount Skydance merupakan “Superior Proposal” di bawah terma perjanjian penggabungan sedia ada WBD dengan Neflix.
Menurut kenyataan CEO bersama Netflix, Ted Sarandos dan Greg Peters, tawaran asal Netflix sebenarnya mampu memberi nilai kepada pemegang saham dan mempunyai laluan yang jelas untuk kelulusan pengawal selia.
Namun, untuk menandingi tawaran Paramount Skydance, harga yang diperlukan menjadikan perjanjian itu tidak lagi menarik dari segi kewangan, justeru Netflix memilih untuk tidak melakukannya.
Netflix turut menyatakan penghargaan kepada David Zaslav, Gunnar Wiedenfels, Bruce Campbell, Brad Singer dan Lembaga WBD kerana menjalankan proses yang adil dan teliti. Menurut Netflix, pihaknya mampu menjaga jenama ikonik Warner Bros., memperkukuh industri hiburan, serta mengekalkan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan produksi di Amerika Syarikat.
Tetapi, transaksi ini sentiasa dianggap sebagai sesuatu yang ‘nice to have’ pada harga yang sesuai, bukannya ‘must have’ pada apa jua harga.
Netflix juga menekankan bahawa perniagaannya berkembang secara organik, dan akan terus melabur kira-kira $20 bilion pada tahun ini untuk filem dan siri berkualiti, sambil memperluas tawaran hiburan.
Seiring dengan dasar peruntukan modal, syarikat juga akan menyambung program pembelian semula saham.
{suggest}
