myFreeview - Siaran TV Digital Percuma Dengan Resolusi Tinggi

myFreeview adalah perkhidmatan siaran digital yang menawarkan semua saluran TV terestrial percuma dalam kualiti digital. Pada masa hadapan, ia akan disediakan dengan lebih banyak saluran dan perkhidmatan interaktif. Ia merupakan satu inisiatif kerajaan untuk menyediakan khidmat penyiaran TV dan radio terbaik untuk rakyat.

Pembaharuan ini memberikan semua siaran yang lebih jelas tanpa sebarang bayaran bulanan. Sistem penyiaran TV Digital ini menggantikan sistem penyiaran televisyen (TV) analog yang telah ditamatkan sepenuhnya. Negeri terakhir merupakan Sabah dan Sarawak yang sedia menutup siaran analog tersebut pada 31 Oktober tahun lalu.

myFreeview memberikan perkhidmatan lebih baik


Melalui myFreeview, anda dapat menikmati siaran tv digital beresolusi tinggi, audio berkualiti tinggi, tiada gangguan cuaca, kandungan interaktif dan ciri rakaman. Lebih banyak saluran pada masa akan datang secara percuma tanpa bayaran bulanan sepanjang hayat.

Program yang sedia ada tidak sebanyak perkhidmatan TV berbayar seperti Astro dan HyppTV. Namun, ia merupakan satu pilihan terbaik sekiranya anda tidak mahu terikat dengan pakej langganan.

Cara mendapatkan perkhidmatan myFreeview




Untuk menerima perkhidmatan myFreeview, anda mempunyai dua pilihan. Pilihan pertama, anda boleh mendapatkan set TV baharu yang mempunyai label atau cop DTTV dengan pengesahan SIRIM. Set TV ini telah dilengkapi dengan penala digital (built-in digital tuner) atau dikenali sebagai IDTV (Integrated Digital Television) dan boleh menerima terus siaran digital myFreeview tanpa dekoder DVB-T2.

Bagi pilihan kedua, anda memerlukan set TV yang mempunyai sambungan input AV, dekoder MYTV (DVB-T2) dan aerial UHF (Ultra High Frequency). Anda boleh mendapatkan dekoder MYTV secara dalam talian atau melalui wakil penjual yang sah. Bagi golongan B40 yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup, anda boleh menyemak kelayakan untuk menerima set Dekoder secara percuma.

Selepas pemasangan, anda boleh menikmati myFreeview yang mempunyai imej dan audio yang lebih jelas berbanding sistem penyiaran analog secara percuma.

Selain itu, buat anda yang telah mempunyai dekoder myFreeview dan IDTV, anda disarankan untuk menetapkan peranti tersebut dalam keadaan Standby Mode pada 4 dan 6 Februari ini. Ia bertujuan untuk proses penyusunan semula frekuensi yang melibatkan kawasan utara Selangor, Pahang Barat, Lembah Klang dan Selangor Timur.

Sumber: Forum Pengguna Komunikasi & Multimedia Malaysia, myFreeview, MYTV

Berkaitan