Melihat Keunikan Kamera Hadapan “Sirip Jerung” Pada Siri OPPO Reno

Reading Time: 2 minutes

Ketika peranti pertama dilengkapi dengan sistem kamera terangkat diperkenalkan tahun lalu, bermacam persepsi timbul dalam kalangan pengguna. Ada yang melihatnya sebagai inovasi menarik, tak kurang juga yang memberi tanggapan negatif pada sistem kamera tersembunyi tersebut.

Rasanya semua sudah maklum mengapa rekaan sebegini digunapakai pada sesebuah peranti. Ia tidak lain tidak bukan untuk memberi skrin paparan yang lebih luas tanpa mencacatkan sudut pandang pengguna dengan kehadiran takuk mahupun bezel yang tebal.

Kamera yang disembunyikan ini hadir dengan pelbagai cara serta rekaan. Kita ada rekaan terangkat seperti peranti pertama, Vivo Nex yang mana hanya lensa kamera sahaja menaik. Kemudian OPPO melalui model Find X memperlihatkan panel atas diisi denga kamera depan dan belakang turun naik, terangkat berputar, flip dan sebagainya. Semua menarik dan ada peminatnya yang tersendiri.

Salah satu rekaan yang mencuri tumpuan dalam pasaran tempatan baru-baru ini adalah dari siri OPPO Reno. Ia dilihat unik kerana apabila kamera hadapan diaktifkan, rekaan seakan- akan “sirip jerung” keluar pada bahagian atas peranti.

Ruang besar pada panel tersebut tidak dibiarkan kosong begitu sahaja kerana ia turut diletakkan dengan dua fungsi lain iaitu pembesar suara telinga serta fungsi flash untuk membantu pencahayaan bagi rakaman depan serta belakang.

OPPO menggambarkan pergerakan laju dan kemudiaannya perlahan ini ibarat kapal angkasa yang sedang mendarat di bulan. Ia bergerak lancar, pantas dan kelihatan sangat natural berbanding kamera terangkat lain. Bukan itu sahaja, mekanisme yang digunakan OPPO ini juga menghasilkan bunyi pergerakan yang lebih senyap.

Dari segi ketahanan, panel bersudut 11 darjah ini telah menjalani sesi ujian terperinci yang mana menurut OPPO, ia mampu bertahan lebih dari 200,000 kali penggunaan. Untuk mudah difahami, 100 kali keluar masuk dalam sehari bersamaan 5 tahun penggunaan.

Ketahanan itu juga dilengkapkan dengan satu lagi ciri, pergerakan masuk secara automatik apabila mengesan peranti dalam keadaan jatuh. Ini bermaksud, ketika jatuh, “sirip jerung” sudah siap-siap masuk bersembunyi, melindungi panel itu dari sebarang kerosakan fizikal yang mungkin berlaku.

Apa yang pastinya, pertaruhan OPPO kali ini bukanlah pada rekaan unik ini semata-mata, dimana ia hanyalah salah satu faktor penarik untuk dipertimbangkan pengguna ketika mencari peranti yang bersesuaian. Di Malaysia, OPPO Reno ditawarkan dengan dua versi pilihan antara kelas pertengahan yang dijual pada harga RM1999 dan sebuah lagi peranti flagship dengan keupayaan 60x zoom berharga RM3399. Untuk ketahui lebih lanjut mengenai spesifikasi yang ditawarkan pada kedua-dua model ini, boleh layari laman sesawang OPPO Malaysia.

 

Helmi Samsuri
Tentang Penulis

Pengerusi Kelab Catur Wiser.my

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *