Dua Model OPPO Reno, Mana Satu Sesuai Untuk Anda?

Masih ingat dengan siri R dari OPPO? Bagi yang pernah menggunakan salah satu model, contohnya macam OPPO R17, pasti sudah berpuas hati dengan gambar yang dihasilkan. Tetapi lebih kurang awal April yang lalu, OPPO sudah mengesahkan siri yang memfokuskan pada keupayaan kamera ini akan dihentikan. Tumpuan seterusnya akan diberikan kepada siri yang lebih premium seperti Find serta Reno.

Siri R mempunyai peminat yang tersendiri, golongan ini mungkin bakal beralih kepada Reno atas kebolehan rakaman gambar yang dilengkapkan pada model tersebut. Jika anda sedang mempertimbangkan, sedang berhajat, bercita-cita atau apa sahaja niat untuk memiliki Reno, mari lihat perbezaan antara dua versi yang ditawarkan.

Pertama sekali, Reno ada dua jenis; OPPO Reno dan OPPO Reno 10x zoom edition. Sebuah dalam kelas pertengahan atas dan sebuah lagi flagship, sarat diisi dengan spesifikasi terbaik.



Penampilan luar peranti

Berstatus flagship, ia tampil dengan rekaan premium dan elegan untuk digayakan sesiapa sahaja. Lihat saja pada belakang peranti, panelnya rata tanpa camera bump yang boleh mencacatkan rekaan.  Anda mungkin tertanya-tanya dengan rekaan bulat kecil timbul dibawah susunan lensa kamera, ia bertujuan mengelakkan lensa kamera daripada calar ketika diletak diatas meja atau lain-lain permukaan.

 



Sisinya melengkung membuatkan pegangan tangan lebih kemas. Menyempurnakan lagi rekaan ini adalah pilihan warna yang kelihatan glossy, menimbulkan lagi elemen premium OPPO 10x zoom. Tiga kamera disusun secara menegak di tengah ditemani logo 'OPPO' dan 'DESIGNED BY OPPO'. Hadapan pula menampilkan skrin AMOLED 6.6 inci, menghamparkan paparan luas tanpa bezel dan gangguan takuk. Siri ini menampilkan kamera hadapan terangkat berbentuk unik digelar "shark fin" yang telah kami ceritakan sebelum ini - Melihat Keunikan Kamera Hadapan “Sirip Jerung” Pada Siri OPPO Reno

Sebuah lagi yang merupakan peranti kelas pertengahan atas, hadir dengan spesifikasi sedikit rendah berbanding 10x Zoom seperti cip pemprosesan dan hanya dilengkapi dengan dua kamera belakang. Pilihan warna antara dua model ini sama iaitu Ocean Green dan Jet Black tetapi, versi standard ini kelihatan seakan matte.



Sepertimana model flagship 10x zoom,skrinnya juga bebas takuk dengan nisbah 19.5:9. Tidak lengkap rekaan cantik sebegini tanpa perlindungan dimana panel hadapan dilindungi oleh Corning Gorilla Glass generasi ke-6.



Prestasi kamera

Apalah guna luaran saja yang cantik jikalau dalamnya lemah dan untuk itu, OPPO Reno serta OPPO Reno 10x Zoom dibekalkan dengan spesifikasi yang sesuai dipasarkan mengikut kelas masing-masing. Kita pergi dahulu kepada OPPO Reno 10x Zoom. Namanya saja sudah beri bayangan faktor penguat adalah pada bahagian kamera. Ia mempunyai 10x zoom optikal, lensa periskop, dwi penstabilan OIS, lensa sudut lebar sehingga 120 darjah, serta dwi LED.

Ditemani kamera telefoto 13MP dan 8MP sudut ultra lebar, jarak fokus boleh dipelbagaikan dari 16mm - 160mm, menjanjikan komposisi fotografi lebih bebas dan rakaman terperinci walaupun pada jarak jauh. Penawaran tidak terhenti disitu sahaja kerana ia turut diberikan keupayaan 60x zoom yang mana anda boleh tonton hasilnya disini - Ini Hasil 60x Zoom Dari Kamera OPPO Reno 10x Zoom

Sementara itu bagi OPPO Reno standard pula, lensa utama 48MP hanya ditemani dengan lensa kedua 5MP untuk membantu rakaman potret. Kedua-dua model mempunyai Ultra Night Mode 2.0, HDR dan pengurangan hingar multi bingkai untuk mendapatkan kualiti tinggi pada gambar waktu kurang cahaya.

Sampel gambar OPPO Reno 10x zoom





Bagaimana dengan hasil rakaman gambar yang diperolehi dari siri Reno ini? Adakah anda bakal menyambar salah satu model diatas yang dijual pada tanda harga RM1999 (OPPO Reno) dan RM3399 (OPPO Reno 10x zoom). Lontarkan pendapat anda diruangan komen.