Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merekodkan sebanyak 5,333 ketidakpatuhan terhadap Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) bagi liputan telekomunikasi di 2,697 lokasi seluruh negara, bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lepas.
Menurut laporan Bernama, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan penyedia perkhidmatan mematuhi piawaian kualiti yang ditetapkan, termasuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya gagal memenuhi keperluan ditetapkan.
“MCMC menjalankan audit rangkaian bagi mengenal pasti kawasan titik buta (blind spot) atau liputan lemah serta menentukan langkah penambahbaikan yang bersesuaian berdasarkan keperluan teknikal dan keadaan setempat termasuk pembinaan menara baharu, perkongsian tapak sedia ada, menaik taraf stesen pemancar, penambahan kapasiti dan pengoptimuman rangkaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab isu liputan telekomunikasi dan titik buta di Betong yang dibangkitkan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Di kawasan Parlimen Betong, Teo memaklumkan MCMC telah menjalankan 21 ujian audit rangkaian dan mengeluarkan 17 notis pematuhan kepada penyedia perkhidmatan yang didapati tidak memenuhi standard ditetapkan.
Sementara itu, bagi menangani masalah capaian internet di Hulu Selangor, MCMC turut mengeluarkan notis pematuhan di bawah Subseksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kepada penyedia perkhidmatan susulan pemeriksaan di Perumahan Mawar Gardens, Prima Beruntung pada 8 Julai lalu.
Pemeriksaan tersebut mendapati kualiti capaian internet di kawasan berkenaan tidak memuaskan. Bagaimanapun, kerja pengoptimuman rangkaian telah diselesaikan dan ujian semula mengesahkan pematuhan terhadap piawaian MSQoS.
Teo turut memaklumkan bahawa pembinaan menara baharu dirancang sebagai langkah penambahbaikan seterusnya, tertakluk kepada penilaian teknikal dan perancangan penyedia perkhidmatan.
Mengenai aduan liputan di Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor, audit kualiti yang dijalankan pada 16 Mei tahun lalu mendapati enam ketidakpatuhan piawaian. Sebuah menara telekomunikasi baharu kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada 19 Julai 2027.
