Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan kenyataan berisi lapan muka surat sebagai jawapan balas kepada surat terbuka Asia Internet Coalition (AIC) yang dikeluarkan baru-baru ini.
Sebelum ini, AIC yang mendakwa mewakili beberapa syarikat teknologi telah mengeluarkan surat terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta untuk menangguhkan sementara rancangan pelesenan media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet.
Walau bagaimanapun, MCMC memaklumkan surat tersebut telah dikemas kini tiga kali dengan logo beberapa syarikat yang disertakan dalam versi pertama, telah dikeluarkan dalam versi kedua. Sementara versi ketiga, bertarikh 26 Ogos 2024, dikeluarkan tanpa sebarang logo atau nama syarikat yang diwakili dalam gabungan itu.
MCMC mengulas mengenai fakta bahawa Grab Malaysia tidak dimaklumkan atau dirujuk mengenai surat itu dan menyatakan bahawa rancangan kerajaan tidak memberi kesan kepada operasinya.
Dalam isu tersebut, MCMC meminta AIC untuk memberikan bukti bahawa mereka telah diberikan keizinan daripada syarikat-syarikat berkenaan untuk mengeluarkan surat terbuka itu.
MCMC nafi dakwaan AIC
MCMC turut menafikan dakwaan bahawa AIC tidak dirujuk berhubung rangka kerja pelesenan kerana rekod yang ada menunjukkan bahawa AIC telah dilibatkan dengan sewajarnya dalam sesi keterlibatan yang diadakan pada 28 Mei.
MCMC menafikan sekeras-kerasnya kenyataan dalam perenggan 4 dalam Surat AIC bahawa ‘tiada perundingan awam rasmi’ dan menyatakan bahawa perkara yang sama adalah tidak betul, tidak berasas, dan tanpa merit.
Bertentangan dengan dakwaan AIC, MCMC menjelasan ia telah mengambil semua langkah yang munasabah untuk melibatkan diri, memudahkan dan membantu penyedia perkhidmatan ke arah pematuhan sebelum tarikh penguatkuasaan pada 1 Januari 2025.
Dalam pada itu, MCMC mengulangi penyataan bahawa penyedia perkhidmatan dalam talian mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk melindungi dan memastikan penggunanya mematuhi undang-undang apabila beroperasi di Malaysia.
Agensi itu juga menyatakan tidak ada sebab mengapa keperluan pelesenan dan operasi perniagaan tidak boleh wujud secara bersama demi kepentingan pengguna dan penyedia perkhidmatan itu sendiri.


