Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan bahawa pengguna tidak akan terkesan dengan kerangka kawal selia perkhidmatan media sosial dan pemesejan, yang diwartakan hari ini dan berkuat kuasa 1 Januari 2025.
Jelas MCMC, hanya pemberi perkhidmatan sahaja – contohnya Facebook, Facebook Messenger, Instagram, Telegram, TikTok, WeChat, WhatsApp, X dan YouTube – yang dikehendaki untuk mendapatkan lesen daripada agensi itu, jika memenuhi kriteria pelesenan.
Sementara pengguna pula sebaliknya akan mendapat manfaat dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan dan pengalaman lebih baik hasil pematuhan terhadap undang-undang Malaysia oleh pemberi perkhidmatan.
Seperti dimaklumkan, penguatkuasaan kerangka ini memerlukan semua pemberi perkhidmatan media sosial dan pemesejan yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna di Malaysia untuk memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Mana mana pemberi perkhidmatan yang beroperasi tanpa lesen selepas tempoh tersebut adalah melakukan suatu kesalahan, dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil.
Semasa tempoh penangguhan (grace period), iaitu daripada 1 Ogos 2024 sehingga 31 Disember 2024, MCMC akan membangunkan garis panduan yang memperincikan keperluan etika dan tanggungjawab (conduct requirements) yang mesti dipatuhi oleh pemberi perkhidmatan tersebut di Malaysia.
Antara lain, pemberi perkhidmatan dikehendaki memperkenalkan langkah yang kukuh berkaitan perlindungan data pengguna, pengesahan umur untuk menghalang penggunaan platform terlibat oleh pengguna di bawah umur 13 tahun, kaedah menangani kemudaratan dalam talian dan sebagainya.
Rundingan awam juga akan dijalankan oleh MCMC, termasuk melibatkan pihak berkepentingan seperti pertubuhan masyarakat sivil, badan bukan kerajaan (NGO), pemberi perkhidmatan dan orang awam.
{suggest}