Malaysia sedang mengambil langkah ke arah ekosistem digital yang lebih bertanggungjawab melalui cadangan Garis Panduan Pempengaruh dan Kerjasama Jenama yang dibangunkan oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF).
Inisiatif ini menegaskan bahawa tanggungjawab terhadap kandungan komersial tidak lagi terletak sepenuhnya pada bahu pempengaruh sahaja.
Sebaliknya jenama, agensi dan klien juga perlu bertanggungjawab terhadap mesej kandungan yang disampaikan.
“Mudah untuk meminta pempengaruh supaya ‘bertanggungjawab’, tetapi tanggungjawab tidak terhenti pada individu di hadapan kamera. Pencipta kandungan mungkin perlu mengikut arahan agensi, menyampaikan dakwaan daripada pelanggan atau berdepan tekanan untuk menyiarkan kandungan yang mereka sendiri kurang selesa hanya kerana ‘klien mahukannya begitu’. Standard yang baik perlu mengambil kira keseluruhan ekosistem ini.” Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood
Garis panduan yang dicadangkan memberi tumpuan kepada beberapa aspek penting termasuk pendedahan kerjasama berbayar, ketepatan dakwaan produk, perlindungan golongan muda, penggunaan kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta pembahagian tanggungjawab yang jelas antara semua pihak yang terlibat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood, ramai pencipta kandungan sering bergantung pada arahan dan taklimat daripada jenama atau agensi.
Oleh itu, garis panduan ini dapat membantu mereka menolak permintaan yang mengandungi dakwaan mengelirukan atau promosi yang tidak didedahkan secara telus.
Selain itu, sesi libat urus industri turut membincangkan isu seperti kandungan mengelirukan, hubungan komersial yang tidak didedahkan serta perlindungan pengguna dalam ruang digital.
Cadangan ini dilihat sebagai satu langkah penting bagi meningkatkan kepercayaan antara pengguna, pencipta kandungan dan industri pengiklanan digital.
Orang ramai masih boleh mengemukakan maklum balas sebelum tempoh konsultasi awam berakhir pada 24 Oktober 2026.
