Malaysia mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan industri berteknologi tinggi apabila TANAKA MEP Refinery Sdn. Bhd. memulakan pembinaan kemudahan penapisan logam berharga berketulenan tinggi bernilai RM70 juta di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Projek ini merupakan usaha sama antara TANAKA Precious Metal Technologies Co., Ltd. dari Jepun dan MEP Enviro Technology Sdn. Bhd. dari Malaysia.
Kemudahan baharu ini bakal menjadi kilang penapisan logam berharga 4N pertama di negara ini, dengan keupayaan menghasilkan emas berketulenan 99.99 peratus.
Istilah 4N, atau “empat sembilan”, merujuk kepada tahap ketulenan sebanyak 99.99 peratus, yang mengehadkan bendasing kepada 0.01 peratus.

Terletak di atas tapak seluas tiga ekar dengan keluasan binaan sekitar 45,000 kaki persegi, projek ini dijangka memulakan operasi komersial pada suku pertama tahun 2029.
Kemudahan tersebut pada peringkat awalnya akan menumpukan kepada pengeluaran emas berketulenan tinggi 4N serta kalium emas sianida (PGC) untuk industri elektronik dan semikonduktor.
“Melalui kerjasama ini, kami menyasarkan untuk mewujudkan rantaian nilai kitar semula logam berharga yang lebih lengkap—merangkumi proses perolehan dan penapisan sehingga mencapai tahap ketulenan tinggi, sehinggalah kepada pengembalian bahan-bahan berharga tersebut ke dalam rantaian bekalan pembuatan,” Encik Sean Ong, Pengarah MEP Enviro Technology Sdn. Bhd.
Kewujudan kemudahan ini mampu memperkukuh ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor yang semakin berkembang di Pulau Pinang.

Pada masa sama, ia menyokong konsep ekonomi kitaran melalui proses pemulihan dan penapisan semula logam berharga untuk dikembalikan ke dalam rantaian bekalan industri.
Projek ini dilihat sebagai langkah strategik dalam meningkatkan keupayaan Malaysia dalam pemprosesan logam berharga bernilai tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab pembuatan teknologi maju dan destinasi pelaburan utama di rantau ini.
