Liputan rangkaian ULTRA5G U Mobile kini menjangkau kira-kira 2.3 juta penduduk di Sabah, sekali gus membawa sambungan generasi baharu ke hab ekonomi, komersial dan pelancongan utama di negeri itu.
Peluasan ini disokong oleh infrastruktur gentian optik yang dibangunkan menerusi kerjasama U Mobile dengan CTS Horizon Sdn. Bhd. (CTS), yang dahulunya dikenali sebagai Celcom Timur (Sabah) Sdn. Bhd.
Untuk rekod, U Mobile melantik CTS sebagai rakan utama penyewaan infrastruktur gentian optik pada April 2025 bagi menyokong peluasan rangkaian 5G di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Sejak itu, CTS telah menyediakan lebih 500 litar gentian optik sewaan di Sabah Barat, Sabah Timur dan Labuan bagi menyediakan sambungan backhaul untuk menyokong kapasiti rangkaian ULTRA5G U Mobile.
Setakat ini, lebih 545 tapak di seluruh Sabah telah disokong oleh infrastruktur gentian optik yang dinaik taraf, dengan kapasiti sehingga 10Gbps bagi setiap tapak. Ia merupakan peningkatan 10 kali ganda berbanding kapasiti maksimum 1Gbps yang lazim digunakan untuk sambungan 4G sebelum ini.
Infrastruktur yang dinaik taraf itu turut dilengkapi sistem redundansi rangkaian bagi meminimumkan gangguan perkhidmatan dan meningkatkan ketersediaan rangkaian ULTRA5G.
U Mobile mula menyediakan perkhidmatan ULTRA5G di Kota Kinabalu pada Ogos 2025 sebelum memperluas liputannya ke beberapa kawasan lain, termasuk Penampang, Tuaran, Papar dan Keningau.
Liputan dalam bangunan turut disediakan di beberapa lokasi utama, antaranya Wisma Merdeka, Imago Mall dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
