Kajian terbaru mendapati bahawa mengunyah gula-gula getah boleh melepaskan ratusan mikroplastik ke dalam mulut.
Kajian oleh penyelidik dari universiti University of California, Los Angeles (UCLA) bernama Sanjay Mohanty menunjukkan bahawa gula-gula getah – terutamanya jenis sintetik yang mengandungi polimer berasaskan petroleum – boleh menyumbang kepada pencemaran mikroplastik dalam tubuh manusia.
“Saya tidak mahu membimbangkan orang ramai,” kata Sanjay Mohanty, penyelidik utama di sebalik kajian baharu yang belum disemak oleh rakan sebaya, kepada AFP.
Lisa Lowe, seorang pelajar PhD di UCLA, mengunyah tujuh keping setiap 10 jenama gula-gula getah, sebelum para penyelidik kemudian menjalankan analisis kimia pada air liurnya.
Mereka mendapati bahawa satu gram (0.04 auns) gula-gula getah mengeluarkan purata 100 serpihan mikroplastik, walaupun ada yang menghasilkan lebih daripada 600 serpihan.
Berat purata sebatang gula-gula getah pula adalah sekitar 1.5 gram.
Penyelidik menganggarkan, orang yang mengunyah sekitar 180 keping gula-gula getah setahun boleh menelan kira-kira 30,000 mikroplastik.
Menariknya lagi, kajian itu turut mendapati, sama ada gula-gula getah sintetik mahupun semula jadi, kedua-duanya didapati mengandungi mikroplastik.
Walaupun tiada bukti kukuh bahawa mikroplastik merosakkan kesihatan, ia tetap menimbulkan kebimbangan jangka panjang.
Kajian ini juga sekali gus mengingatkan tentang pencemaran plastik apabila gula-gula getah dibuang merata-rata.
Walau bagaimanapun, kajian ini belum disemak pakar lain dan ia baru dibentangkan di mesyuarat Persatuan Kimia Amerika.
Ekoran daripada penemuan ini, Persatuan Pengeluar Gula-Gula Getah Kebangsaan yang mewakili pengeluar gula-gula getah di Amerika Syarikat menegaskan produk itu selamat dan telah digunakan lebih daripada 100 tahun, serta diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah AS (FDA).
Dalam kajian berkaitan yang dibuat oleh penyelidik lain pada tahun lepas berkata, satu liter (34 auns cecair) air dalam botol plastik dianggarkan mengandungi purata 240,000 mikroplastik.
{suggest}
Sumber: AFP