KJ: Kurangkan Bergantung Pada PCR, Amalkan Ujian Kendiri RTK

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri semalam telah mengumumkan Malaysia akan menguatkuasakan fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022. Dengan ini, beberapa kelonggaran juga telah diberikan sesuai dengan data yang diperolehi berkenaan jangkitan ini.

Jangan keliru, fasa peralihan ke endemik bukanlah merujuk pada endemik sebaliknya sebuah fasa persediaan sebelum WHO secara rasmi mengisytiharkan COVID-19 ialah sebuah endemik. Hal ini kerana hanya badan tersebut sahaja yang mempunyai kuasa mengelaskan sesebuah status wabak, sama seperti COVID-19 diumumkan sebagai pandemik tahun lalu.

Dalam sidang Kementerian Kesihatan Malaysia tadi, Khairy Jamaluddin menjawab soalan media berkenaan rancangan kerajaan untuk menurunkan harga ujian RT-PCR yang didakwa agak tinggi bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Beliau berkata bahawa KKM sedang dalam perbincangan dengan KPDNHEP untuk menetapkan harga siling namun yang lebih penting ialah mengurangkan kebergantungan terhadap ujian PCR.

Waktu ini, ujian RT-PCR dalam peringkat peralihan ke endemik hanya perlu untuk pengembara dan clinical setting.

Dalam menuju endemik, KJ menekankan bahawa orang ramai perlu membiasakan diri melakukan dengan ujian kendiri Antigen RTK seandainya mempunyai gejala.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu lebih bergantung pada ujian kendiri RTK berbanding PCR bermula fasa peralihan ini sebelum benar-benar memasuki fasa endemik.

Menteri Kesihatan juga memberitahu bahawa beliau telah mengarahkan MDA untuk memastikan kualiti kit RTK di pasaran terjamin serta mencukupi di seluruh negara.

Baca juga: