Kementerian Komunikasi dan Multimedia baru-baru ini telah melancarkan platform MyDigital.KKMM. Ia sebuah pusat sehenti untuk maklumat berkaitan perkhidmatan mudah alih, internet, gentian, jalur lebar, awan dan lain-lain berkaitan lanskap digital Malaysia.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyatukan rakyat yang berkecimpung sebagai usahawan, pencipta, penyedia kandungan digital, atau lain-lain supaya menjadi warga digital yang berjaya, inovatif dan beretika di semua platform digital.
Tan Sri
Annuar Musa berkata beliau berharap portal berkenaan dapat memberikan peluang kepada semua kementerian dan badan kerajaan serta syarikat telekomunikasi untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat secara lebih berkesan dan berterusan.
Masuk ke Pejabat Kerajaan Secara Maya
Melalui pengalaman saya menggunakannya, ia jelas mengaplikasikan konsep pengalaman 3D atau 360 darjah maya dengan begitu menyeluruh. Masuk saja ke laman utama, anda akan disajikan dengan bangunan-bangunan dilabelkan dengan nama agensi dan sebagainya.
Klik pada mana-mana bangunan tersebut, anda akan dibawa ke laman baru yang memberi paparan di dalam bangunan, memberi pengalaman seumpama masuk ke dalamnya secara harfiah. Di sini, diberi pilihan sama ada meneruskannya dalam mod biasa atau ‘360 Experience’. Dalam 360 Experience, anda boleh ‘menoleh’ ke kiri dan kanan melihat keadaan sekeliling, sama seperti fungsi pada Google Street View.
Di sini ada sekali lagi boleh klik pada mana-mana label pada bahagian ‘dalaman bangunan’ ini contohnya kaunter pertanyaan, papan tanda ‘Pameran’ dan sebagainya yang akan membawa anda ke laman lain.
Jika klik pada ‘Pameran’, anda akan melihat beberapa reruai lagi untuk dipilih.
Apabila klik pada reruai, anda akan menghadap reruai tersebut dan akan ada 3 butang di sebelah kanan iaitu ‘Pengenalan’, ‘Produk dan Perkhidmatan’ dan ‘Interaksi’. Inilah destinasi atau fungsi utama portal ini di mana ketiga-tiga butang tadi akan menyediakan video, imej dan fail PDF berkenaan kenyataan rasmi, promosi, pengumuman dan pelbagai lagi dari agensi atau syarikat tersebut.
Usaha Yang Perlu Ditambah Baik
Sesungguhnya, di Malaysia terdapat banyak jenama pada satu-satu inisiatif oleh kerajaan. Seperti kata bijaksana, memulakan satu-satu perkara mudah namun mengekalkannya, tidak. Portal MyDigital ini pada pendapat saya ialah sebuah laman sesawang biasa yang menyalurkan maklumat rasmi yang hanya ditambah dengan elemen ‘360 Experience’. Buat masa ini, tidak ada apa-apa ‘teras’ yang membuatkannya eksklusif atau unik yang dapat memastikan pengunjung mahu melawatinya lagi pada waktu akan datang.
Pada era laman sosial menjadi perantara, kewajaran portal ini perlu dijustifikasi dengan fungsi dan ciri yang lebih signifikan pada masa akan datang. Mencapai maklumat melalui media sosial lebih pantas dan mudah berbanding membuka laman rasmi kerajaan. Elemen ‘360 Experience’ sama sekali tidak membantu saya mendapatkan maklumat dengan lebih cekap bahkan saya lebih gemar antara muka laman sesawang yang biasa.
Saya juga dapati ada beberapa masalah seperti walaupun saya telah log masuk, namun apabila ke halaman utama, ia masih meminta saya untuk log masuk sedangkan sudah tertera nama akaun di atas. Mungkin disebabkan ia masih awal, maka saya faham jika kandungannya masih sedikit. Harapan saya KKMM akan menambah baik laman web ini dengan fungsi yang lebih bermanfaat, bukan hanya perkongsian maklumat semata-mata kerana KKMM telah meletakkan banyak cita-cita dan aspirasi pada portal ini.
Anda boleh klik di SINI untuk melayari MyDigital.KKMM.
Baca juga: