Malaysia Menuju Endemik Bermula 1 April 2022, Ini Kelonggaran Yang Diumumkan

Dalam sidang media Perdana Menteri petang tadi, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan bahawa Malaysia secara rasmi akan memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April 2022. Dengan ini, beberapa peraturan dan kelonggaran akan berkuat kuasa bermula bulan hadapan.

Bermula 1 April ini, had waktu operasi premis akan dimansuhkan. Ini bermakna semua premis boleh beroperasi sehingga 24 jam sehari tertakluk pada lesen yang diluluskan pihak penguasa.

Ini akan memanfaatkan umat Islam untuk sahur di kedai makan pada bulan Ramadan hadir kelak.

Untuk penggunaan MySejahtera, ia tidak lagi diwajibkan untuk kawasan terbuka yang tidak sesak dan tidak mempunyai himpunan ramai. Namun, pengguna masih perlu mendaftar di kawasan lain.

Selain itu, aktiviti ibadat semua agama juga boleh dilaksanakan tanpa penjarakan sosial.  Ini bermakna umat Islam boleh menunaikan solat jemaah di masjid dan surau dengan merapatkan saf tanpa penjarakan sosial lagi, mengikut syor kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, disebabkan peraturan berkaitan hal agama Islam tertakluk di bawah kerajaan negeri, maka keputusan muktamadnya akan bergantung kepada kerajaan negeri masing-masing.

Selain itu, kerajaan juga memansuhkan had kapasiti pekerja berdasarkan status vaksinasi. Ini bermaksud kapasiti pekerja akan kembali penuh tanpa mengira status vaksinasi pekerja.



Untuk perjalanan dalam negara pula, semua individu akan bebas merentas negeri tanpa sekatan mengikut status vaksinasi lagi.

Had kapasiti 50% untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai juga dengan ini akan termansuh. Pun begitu, penjarakan fizikal masih dititikberat dan digalakkan.

Sempadan negara juga akan dibuka dengan beberapa SOP perlu dipatuhi mereka yang keluar masuk negara namun individu yang divaksinasi penuh dan menerima dos penggalak tidak lagi perlu menjalani kuarantin.

Walaupun banyak kelonggaran dan peraturan kembali seperti waktu prapandemik, namun antara perkara yang kekal ialah penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.

Baca juga: