KKMM: Keputusan Berkaitan 5G Akan Dimuktamadkan Jumaat Depan

Melihat pada pencapaian rangkaian 5G di negara-negara jiran, sukar untuk menerima Malaysia ketinggalan jauh sekali sedangkan kita berstatus negara membangun. Kata orang, "tertinggal 10 tiang."

Dalam laporan Opensignal kami kongsikan tempoh hari, Malaysia mempunyai kelajuan nombor 2 paling tercorot di Asia Tenggara.

Andai kata Kemboja dipindah ke Asia Timur, maka Malaysia dinobatkan sebagai juara negara Asia Tenggara yang mempunyai kelajuan paling teruk di rantau ini.

https://twitter.com/AnnuarMusa/status/1499281379544436738?s=20&t=hjlK2qIYzqbnp7pvSdwhzw

Terkini, Tan Sri Annuar Musa selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia mengumumkan keputusan tentang pelaksanaan 5G di Malaysia akan dibawa ke Parlimen dan dimuktamad pada 11 Mac 2022. Dalam hantaran yang sama, beliau berkata KKMM dan Kementerian Kewangan telah berbincang dengan pelbagai pihak tentang isu terbabit.

Sebelum ini, konflik 5G semakin kritikal dengan penyerahan usul daripada syarikat-syarikat telekomunikasi untuk membentuk sebuah lagi konsortium bagi menyelia dan membangunkan infrastruktur 5G. Pertindihan fungsinya dengan DNB nyata sekali ialah satu bentuk protes daripada pihak industri terhadap perlantikan DNB sebagai satu-satunya pemborong pukal.

Daripada maklum balas yang kami teliti, pengguna di Malaysia menuntut rangkaian 4G dengan kualiti yang lebih baik, bukan perluasan 5G. Dalam era bekerja dan belajar dari rumah ini, rangkaian 4G dengan liputan meluas dan berkelajuan tinggi menjadi keutamaan pengguna berbanding menara 5G dipacakkan di hadapan pintu rumah mereka. Isu ini juga telah dibuktikan melalui laporan Opensignal.

Selain itu, pelbagai spekulasi tentang DNB sehinggakan media antarabangsa seperti Reuters telah melaporkan bermacam-macam berita. Sama-sama kita nantikan apakah benar ia akan dimuktamadkan.

Baca juga: