Kenapa Perlu Dapatkan ASUS ROG Phone 3 Set Malaysia Berbanding Set Import?

Setelah berbulan menjadi bualan, ASUS telah memperkenalkan ROG Phone 3 secara rasmi pada bulan lalu. Belum diperkenal dalam pasaran tempatan, sudah pasti ada antara pengguna ingin menjadi yang terawal memiliki ROG Phone 3 serta mendapatkannya pada harga yang lebih murah.

Baru-baru ini, ASUS Malaysia telah memuat naik kiriman di Facebook mengenai perbandingan antara unit yang akan dijual dalam pasaran tempatan dan set import.

Menurut ASUS, set Malaysia akan menerima sokongan jaminan satu tahun, sementara set import kebiasaaannya hanya menerima jaminan kedai atau kemungkinan langsung tidak ditawarkan sebarang jaminan.



Memandangkan unit tersebut adalah khas untuk pasaran Malaysia, sudah tentu rangkaian jalur lebar juga disesuaikan mengikut negara yang menerima peranti tersebut. Oleh itu, versi Malaysia menerima rangkaian jalur lebar yang lebih luas.

Dari segi RAM dan storan dalaman, ia turut menawarkan pilihan RAM sehingga 16GB serta storan yang lebih besar dengan 512GB storan dalaman.

Bermain permainan video terlalu lama akan menyebabkan suhu peranti meningkat. Tanpa perlu mengeluarkan wang tambahan, di dalam kotak pembelian set Malaysia turut disertakan alat penyejuk AeroActive Cooler 3 yang mempunyai kipas yang lebih efektif untuk penyejukan.

ASUS ROG Phone 3 dijadual akan dilancarkan dalam pasaran Malaysia pada September ini.

Sumber: Facebook ASUS Republic of Gamers

Berkaitan