Touch ‘n Go secara rasmi sudah menguar-uarkan produk baharu mereka iaitu kad debit prabayar Visa.
Antara kelebihan utamanya ialah ia dipautkan langsung dengan akaun TNG eWallet anda.
Jadi, sebarang transaksi akan terus tolak baki eWallet anda.
Setiap pengguna TNG eWallet hanya dihadkan pada 1 kad, tidak seperti kad TNG biasa.
Sebelum anda tatal ke bawah untuk maklumat lebih lanjut, ketahuilah ia seperti kad prabayar lain seperti BigPay, Wise dan MAE.
Teruskan tatal ke bawah agar soalan-soalan anda dijawab.
{snap}
Berapa harganya?
Kalau ikutkan, ia berharga RM5 dengan caj tahunan RM8. Caj penghantaran pula sebanyak RM5.
Namun untuk waktu sekarang, anda dikecualikan harga kad (RM5) dan caj tahunannya (RM8). Ini bermakna anda hanya perlu bayar RM5 keseluruhannya buat masa ini.
TNG tidak dedahkan sampai bilakah caj tahunan ini dikecualikan.
Untuk gantian kad baru, anda akan dikenakan caj sebanyak RM10.
{snap}
Di mana boleh saya dapatkannya?
Ia hanya tersedia di aplikasi TNG eWallet dan tidak akan dijual di kedai TNG apatah lagi kedai lain.
{snap}
Rekaan?
Ia hanya tersedia dalam satu rekaan iaitu seperti lukisan dengan biru dan kurning sebagai warna utama. Ia direka oleh Damien Wong daripada United Voice. Beliau menghidap autisme sejak kecil.
Menariknya, ia menjadi kad pertama dalam Malaysia yang tidak ada cetakan nombor kad padanya. Ini meningkatkan lagi ciri keselamatan kad ini.
Nama anda akan dicetak pada belakang kad dan anda boleh tetapkannya sendiri semasa memesan di aplikasi TNG eWallet.
{snap}
Kad NFC ada dua logo Touch ‘n Go, tapi Visa hanya ada logo TNG eWallet, kenapa?
Kalau ada perasan, kad TNG NFC ada dua logo iaitu logo Touch ‘n Go dan TNG eWallet. Tapi kad Visa ini, hanya logo TNG eWallet saja.
Ini bermakna tiada ‘kolaborasi’ antara dua syarikat ini untuk produk terbaru ini.
Hal ini kerana kad ini dikeluarkan syarikat TNG Digital dan penggunaannya langsung tidak berkait dengan Touch ‘n Go. Kalau ia boleh digunakan di tol, pastinya logo syarikat induk turut disertakan sama.
Anda harus faham bahawa Touch ‘n Go Sdn. Bhd. diasaskan 1997 manakala TNG Digital Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 2017 ialah anak syarikatnya yang merupakan entiti asing, diasaskan dengan kerjasama Ant Group (Alibaba).
{snap}
Bila saya gunakannya, dari mana duit saya akan ditolak?
Ia akan tolak duit daripada baki utama TNG eWallet anda atau Go+, jika baki utama tidak mencukupi.
Jika anda tidak tahu-menahu atau tidak pernah gunakan Go+ atau Go Investment, besar kemungkinan anda hanya gunakan baki eWallet utama yang jumlahnya tertera pada halaman utama TNG eWallet.
{snap}
Di mana saya boleh gunakannya?
Kad ini boleh digunakan di kedai yang sokong kad Visa. Sama ada melalui PIN atau payWave, asalkan kedai tersebut mempunyai terminal kad.
Senang cerita, mana-mana kedai yang boleh dibayar menggunakan kad, maka anda boleh gunakan kad ini.
Ia diterima di lebih 80 juta kedai seluruh dunia kerana Visa yang ada padanya. Untuk transaksi dalam talian juga tiada masalah, sama seperti kad debit lain.
Bahkan, ia mempunyai kad virtual untuk digunakan sementara menunggu kad fizikal tiba.
{snap}
Berapa had untuk transaksi?
Untuk pembayaran tanpa sentuh iaitu payWave, had ditetapkan RM250. Lebih daripada itu, anda perlu masukkan PIN.
Diingatkan, PIN kad ini dengan PIN aplikasi eWallet adalah berbeza. Bermakna, anda boleh tetapkan PIN berbeza untuk kad ini.
{snap}
Boleh guna di plaza tol dan pengangkutan awam?
Tidak. Malang sekali, kad ini bukan kad TNG biasa atau berdaya NFC.
Ia tidak boleh digunakan di plaza tol mahupun pengangkutan awam tapi boleh untuk sesetengah parkir kereta.
Untuk parkir kereta, anda boleh gunakannya jika fasiliti itu menyokong pembayaran kad debit seperti di pasar raya besar.
{snap}
Kenapa tak boleh digunakan di tol?
Hal ini dibataskan oleh teknologi. Walaupun seakan sama, tapi teknologi di plaza tol/pengangkutan awam adalah berbeza daripada teknologi digunakan untuk PayWave di kedai-kedai.
Disebabkan teknologi pengimbas di plaza tol dan terminal kad debit/kredit adalah berbeza, maka kad ini sepatutnya dilengkapkan dengan 2 cip NFC berbeza.
Tapi kalau 2 cip ini diletakkan dalam 1 kad, maka akan ada gangguan apabila digunakan kelak.
Oleh itu, TNG berkata mereka terpaksa hadir dengan sokongan terhadap pengimbas kad debit/kredit saja, bukan untuk pengimbas di plaza tol/pengangkutan awam.
{snap}
Boleh guna di ATM untuk keluarkan wang?
Boleh, melalui ATM yang sokong Visa Plus. Mudahnya, cari saja ATM yang ada MEPS.
Namun, ia dihadkan 5 transaksi satu hari atau RM1,000 satu transaksi, RM5,000 keseluruhan sehari.
Pengeluaran tunai di ATM domestik akan dikenakan sebanyak RM1.40 manakala ATM rentas sempadan pula RM15.
{snap}
Boleh digunakan di Malaysia saja ke?
Kad ini menyokong kedai seluruh dunia kerana Visa.
Seperti BigPay juga, kad ini turut boleh digunakan di luar negara tetapi kadar tukarannya tidak diperincikan.
TNG hanya mengatakan kadar dikenakan mereka “kompetitif”.
{snap}
Perlukah saya dapatkan kad prabayar ini?
Jangan salah faham, kad ini tidak diwajibkan pada semua pengguna.
Ia sesuai untuk mereka yang berminat terutamanya pengguna tegar TNG eWallet yang lebih gemar lakukan pembayaran melalui kad.
{snap}
Apa beza kad prabayar ini dengan kad TNG biasa?
Puatan terus dengan eWallet, sokongan terhadap tol dan pengangkutan awam menjadi perbezaaan utama kedua-duanya.
Kad VISA ini tidak menyimpan sebarang jumlah wang dalamnya. Ia sama seperti kad debit/kredit lain di mana ia sebagai perantaraan saja dengan TNG eWallet anda.
Kad TNG biasa (lama dan berdaya NFC) pula menyimpan duit anda dalamnya. Apabila diimbas, baki dalam kad ditolak terus tanpa terhubung pada eWallet.
Baki eWallet hanya ditolak jika anda hidupkan PayDirect tapi itu pun hanya disokong di sesetengah tol dan tempat parkir.
{snap}
Kad ni boleh dipautkan dengan Apple Pay, Samsung Pay atau Google Pay di Malaysia?
Buat masa sekarang, belum. TNG Digital berkata mereka terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana platform lain.
Tapi secara peribadi, saya rasa ia tidak akan berlaku terutama sekali untuk Apple Pay.
{snap}
Berbaloi tak kad TNG Visa ini?
Jika anda pengguna tegar TNG eWallet seperti melakukan pembayaran setiap hari melaluinya, maka anda sesuai dapatkannya.
Tapi, jika anda lebih selesa pembayaran melalui kod QR, maka kad ini mungkin tidak perlu untuk anda.
Kalau anda kerap gunakan MAE, BigPay dan bukan pengguna tegar TNG maka saya tidak sarankannya kerana ia hanya akan menambah tebal dompet anda.
Jangan lupa, anda perlu bayar caj tahunan apabila TNG laksanakannya kelak. Rugi jika anda tidak gunakannya sebaik mungkin.
Antara kekurangan utama kad ini ialah ia tidak boleh digunakan di plaza tol, jadi tidak ada kelebihan besar berbanding kad prabayar lain.
Untuk maklumat lebih lanjut, klik butang di bawah.