Apple hari ini mengumumkan perubahan besar pada ekosistem aplikasinya di Eropah, sejak App Store dilancarkan pada tahun 2008.
Bermula iOS 17.4, Apple akan melaksanakan kemas kini yang membolehkan pengguna iPhone memuat turun dan memasang aplikasi di luar App Store melalui stor/gedung aplikasi alternatif.
{suggest}
Apple membuat perubahan ini bagi mematuhi Akta Pasaran Digital (DMA) Kesatuan Eropah, yang perlu dipatuhi oleh syarikat teknologi selewat-lewatnya pada 6 Mac 2024. Bermakna, ia hanya terpakai untuk pengguna di negara Eropah.
Perubahan ini termasuk API baharu, analitik aplikasi yang diperluaskan, fungsi enjin carian alternatif dan pilihan kepada pembangun untuk memproses pembayaran dan mengedarkan aplikasi iOS.
Di EU, apabila pembangun menyerahkan aplikasi kepada Apple untuk diedarkan, mereka boleh memilih App Store atau mana-mana stor aplikasi pihak ketiga. Ini termasuk pengedaran melalui kedua-duanya sekali.
Seiring perubahan itu, Apple akan memperkenalkan perlindungan baharu yang mengurangkan — tetapi tidak menghapuskan risiko baharu DMA kepada pengguna EU.
Notarization
Menurut Apple, pilihan baharu untuk memproses pembayaran dan muat turun aplikasi di luar iOS menjadikan ia terdedah kepada perisian hasad, penipuan, kandungan terlarang dan berbahaya serta ancaman privasi dan keselamatan yang lain.
Lanjutan itu, aplikasi yang dipasang melalui stor aplikasi alternatif perlu melalui proses ‘Notarization’ yang merangkumi semakan keselamatan – bagi mengurangkan risiko serta memberikan pengalaman terbaik dan selamat kepada pengguna di EU.
Yuran kepada pembangun
Apple tidak akan mengenakan komisen ke atas aplikasi yang dipasang melalui pasaran alternatif.
Walaupun begitu, pembangun aplikasi yang mengedarkan aplikasi iOS daripada App Store dan/atau stor aplikasi alternatif perlu membayar Core Technology Fee atau Yuran Teknologi Teras sebanyak €0.50 (~RM2.57) bagi setiap pemasangan secara tahunan. 1 juta pemasangan pertama adalah percuma untuk semua pembangun, tetapi setelah melepasi angka tersebut, bayaran akan dikenakan.
Pembangun aplikasi yang memilih untuk terus mengedar di bawah App Store akan membayar komisen yang dikurangkan sama ada 10% atau 17% bergantung kepada perkhidmatan yang ditawarkan. Apple berkata sebahagian besar aplikasi akan layak untuk kadar 10%.
Ketika ini, Apple telah pun mengeluarkan iOS 17.4 beta, dan ia dijangka akan dilancarkan kepada umum pada Mac nanti.
Sumber: Apple Newsroom