Imej Yang Didakwa Sebagai Telefon Pintar Lipat Samsung W2018 Tertiris

Setahun yang lalu kita sudah menyaksikan pelancaran telefon pintar lipat Samsung W2017 yang hanya terhad dipasarkan di China sahaja. Kini, mereka sekali lagi tampil dengan siri W untuk tahun 2018 dengan beberapa penambahbaikan dari model yang sebelumnya.



Hadir dengan rekaan lipat yang klasik, Samsung W2018 akan dilengkapi dengan dua skrin paparan  AMOLED 1080p berukuran 4.2 inci dibahagian luar dan dalam. Ia dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 835, RAM 6GB dan ruang storan sebesar 64GB. Kelihatan juga papan kekunci fizikal yang sudah pasti mengimbau zaman popularnya peranti flip.



Kamera pula akan menggunakan lensa 12MP untuk kamera belakang serta lensa 5MP bagi kamera swafoto. Terdapat pengimbas cap jari dibahagian sebelah kamera utama dan telefon pintar boleh lipat ini dikuasakan dengan bateri berkapasiti 2300mAh.



Tidak dapat dipastikan lagi tentang sistem operasi yang akan digunakan. W2018 boleh dikelaskan sebagai sebuah telefon pintar eksklusif dengan rekaan klasik dan harganya juga mungkin menjangkau belasan ribu ringgit sepertimana harga jualan Samsung w2017 yang mencecah 20,000 yuan (~RM 12,625). Peranti ini mungkin hanya dipasarkan di China sahaja.

Sumber: MMDJ, Playfuldroid, dan Lowyat.net