Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Imej Komputer iPhone Fold Tertiris, Dedah Rekaan Dengan Lipatan Hampir Tidak Kelihatan

Posted on Disember 25, 2025Disember 25, 2025

Apple telah dikaitkan dengan pembangunan iPhone boleh lipat sejak beberapa tahun lalu, dan peranti ini dijangka akan dilancarkan seawal 2026.

Menerusi video terbaru yang dimuat naik di saluran YouTube Front Page Tech (FPT), peniris terkenal Jon Prosser mendedahkan imej komputer (CAD renders) rekaan iPhone Fold, yang dipercayai antara paling meyakinkan setakat ini.

Sekali imbas, reka bentuknya menyerupai Google Pixel Fold. Menurut Prosser, Apple memilih lipatan jenis buku berbanding clamshell selepas melakukan eksperimen bagi kedua-dua reka bentuk.

Dari segi luaran, iPhone Fold kelihatan seperti iPhone biasa dengan skrin 5.5 inci dan tebal kira-kira 9mm. Apabila dibuka sepenuhnya, skrin bersaiz 7.8 inci menyerupai iPad dan ketebalan hanya 4.5mm.

Prosser turut mendakwa kesan lipatan (crease) pada skrin hampir tidak kelihatan. Apple dikatakan menggunakan gabungan plat logam untuk mengagihkan tekanan apabila skrin dilipat, manakala engsel logam cecair pula menjadikan peranti lebih tahan lasak.

Bagi kamera, iPhone Fold dijangka menampilkan empat sensor iaitu satu di bahagian luar, dua di bahagian belakang dan satu di bahagian dalam.

Satu lagi dakwaan yang menyokong khabar angin terdahulu adalah peranti ini tidak akan menggunakan Face ID, sebaliknya akan kembali menggunakan Touch ID. Sensor ini akan diletakkan pada butang kuasa, yang menurut Prosser telah dipindahkan ke bahagian atas peranti.

iPhone Fold juga akan menggunakan modem generasi kedua Apple, C2, serta bateri berketumpatan tinggi. Dengan saiz pemacu paparan yang lebih kecil, kapasiti bateri dapat ditingkatkan, sekali gus memberikan prestasi lebih baik dan tahan lama.

Prosser mendakwa iPhone Fold hanya akan ditawarkan dalam pilihan warna Hitam dan Putih, dengan harga dijangka sekitar $2,000 hingga $2,500 (~RM8,090 – RM10,112), menjadikannya model premium pada tahun depan.

Sebagai rujukan, Prosser mempunyai rekod yang baik dalam mendedahkan maklumat berkaitan produk Apple. Sebelum ini, beliau pernah mendedahkan rekaan semula aplikasi Camera dalam iOS 26 dengan tepat, sehingga akhirnya disaman Apple kerana didakwa mencuri maklumat rahsia iOS 26.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress