Huawei AppGallery Kini Adalah Ketiga Terbesar Selepas Google Play Dan App Store

Huawei baru-baru ini mengeluarkan satu siaran media berhubung AppGallery. Dalam siaran media tersebut, syarikat itu mengingatkan dunia bahawa ia mampu bertahan tanpa Google dan merancang untuk mempercepatkan pembangunan Huawei Mobile Service (HMS). Selain itu, Huawei turut menyatakan AppGallery kini merupakan yang ketiga terbesar selepas Google Play dan App Store.

Huawei AppGallery

Semua sudah maklum mengenai kemelut yang melanda antara Huawei dan kerajaan Amerika Syarikat. Kemuncaknya adalah, gergasi teknologi dari China itu telah disekat dari melakukan perdagangan dengan pelbagai syarikat dari AS. Salah satunya adalah Google, yang terpaksa menghentikan sokongan Android pada Huawei. Sejak itu, Huawei telah melancarkan siri Huawei Mate 30 dengan vanilla Android dan HMS.

Huawei terpaksa mendapatkan pelbagai pemaju bagi platform baru HMS yang digelar sebagai AppGallery. Walau bagaimanapun, melalui pengumuman syarikat itu, pengguna aktif secara bulanan bagi Huawei AppGallery sudah melebihi 400 juta dengan lebih daripada 55,000 aplikasi yang ditemui di platform tersebut. Dengan kata lain, ia adalah satu prestasi yang hebat untuk perkhidmatan yang baru dilancarkan.

Pada masa ini, HMS tersedia di 170 buah negara dan bekerjasama dengan pembangun tempatan dari Asia Pasifik, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Amerika Latin. Syarikat tersebut juga mengumumkan akan melancarkan perkhidmatan "Quick App" dalam AppGallery yang membenarkan pengguna mencuba aplikasi tanpa perlu memuat turun dan memasangnya terlebih dahulu.

Sumber: GizmoChina