Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Guna Walkie-Talkie Tidak Diperakui Boleh Ganggu Komunikasi Kritikal, Bahayakan Pengguna – Teo

Posted on Februari 27, 2026

Penggunaan walkie-talkie yang tidak diperakui berisiko mencetuskan gangguan mudarat terhadap perkhidmatan komunikasi kritikal negara, termasuk yang digunakan pasukan keselamatan, kecemasan serta radio navigasi penerbangan dan maritim.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kelengkapan walkie-talkie yang tidak mematuhi standard juga boleh menimbulkan risiko keselamatan pengguna. Antaranya termasuk risiko renjatan dan kebakaran, terutamanya semasa aktiviti pengecasan.

Menurut beliau, semua kelengkapan komunikasi, termasuk walkie-talkie, perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik 2000), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Keperluan ini adalah penting untuk memastikan setiap kelengkapan komunikasi termasuk walkie-talkie mematuhi kod teknik dan juga standard yang ditetapkan, yang diselaraskan dengan rujukan dan amalan antarabangsa.. yang merangkumi aspek keselamatan elektrik, keserasian elektromagnetik (EMC), kebolehkendalian dan penggunaan frekuensi radio,” katanya.

Teo menekankan bahawa proses pemerakuan kelengkapan komunikasi bukan satu prosedur birokrasi, sebaliknya merupakan benteng keselamatan negara.

Bagi menangani penjualan walkie-talkie tidak diperakui di pasaran fizikal dan platform e-dagang, MCMC aktif menjalankan pengawasan, pengumpulan maklumat dan libat urus, serta memastikan pematuhan platform e-dagang.

Dari 2021 hingga 2025, 314 unit walkie-talkie bernilai RM24,682 telah disita. Dari 2022 hingga 2025 pula, MCMC telah mengeluarkan 112 Notis Penurunan kepada platform e-dagang yang melibatkan penurunan 21,151 pautan kelengkapan komunikasi tidak diperakui, termasuk 3,175 pautan penjualan walkie-talkie.

Beliau menegaskan kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pengendali platform e-dagang yang didapati secara sengaja dan berulang kali gagal mengambil tindakan selepas notis diberikan.

Dalam pada itu, Teo memaklumkan MCMC sedang memuktamadkan Rangka Kerja Kelengkapan Komunikasi Baharu (NCEF) yang dijangka berkuat kuasa pada 2027. Rangka kerja ini akan memperkenalkan pengisytiharan pematuhan kendiri bagi kelengkapan berisiko rendah dan sederhana, membolehkan kelulusan lebih pantas dan kos lebih rendah.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress