Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Kemas Kini Sistem PS5 Tambah Welcome Hub, Party Share, Profil Audio 3D Peribadi, Dan Banyak Lagi

Guna AI Cari Kelemahan PS5, Penggodam Terima AS$50,000 Daripada Sony

Diterbitkan November 3, 2026 oleh Amsyar Latif

Seorang penggodam yang dikenali sebagai Jordy menerima ganjaran AS$50,000 daripada Sony selepas melaporkan kelemahan kritikal pada hypervisor PlayStation 5 (PS5). Dia mendakwa kelemahan itu ditemui dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) generatif.

Menurut IGN, laporan tersebut dihantar melalui program bug bounty PlayStation di platform HackerOne pada 15 September 2026. Jordy, yang menggunakan nama 2tonejordy di HackerOne, mendedahkan bayaran itu menerusi X pada 14 Oktober.

https://x.com/couldbeautism/status/2110222993960194422?a=kHAtOXX_yUV1N1_fqig&s=20

AS$50,000 merupakan ganjaran maksimum program tersebut untuk kelemahan kategori kritikal. Berdasarkan rekod HackerOne yang dipetik media, hanya seorang pengguna lain pernah menerima jumlah yang sama dalam tempoh tiga tahun.

Hypervisor ialah lapisan keselamatan asas PS5 yang mengawal akses kepada perkakasan konsol. Kelemahan ini dilaporkan menjejaskan perisian tegar (firmware) PS5 versi 13.60 hingga 14.00.

Jordy bagaimanapun bukan orang pertama yang menemui kelemahan tersebut. Menurutnya, jurutera keselamatan Google, Andy Nguyen atau theflow0, telah menemui pepijat yang sama lebih awal dan memintanya supaya tidak melaporkan kelemahan itu kepada Sony.

Jordy mendakwa dia pada mulanya bersetuju. Dia kemudian mengubah keputusan selepas seorang lagi individu turut menemui kelemahan yang sama menggunakan AI beberapa jam kemudian.

“Jika saya dan seorang lagi boleh menemuinya menggunakan LLM, orang lain juga boleh,” katanya kepada IGN.

Nguyen sebelum ini menggunakan kelemahan tersebut untuk projek menjalankan Linux pada PS5, yang dipamerkannya pada Mac lalu. Dia dilaporkan merancang untuk merahsiakan pepijat itu sehingga selepas GTA 6 dilancarkan.

Dengan cara itu, pengguna boleh mengemas kini konsol untuk bermain permainan tersebut dan masih boleh menjalankan Linux. Pada 15 September, Nguyen mengumumkan dia berundur daripada komuniti PS5 dan menghentikan semua kerja berkaitan PS5 Linux.

Setakat ini, Sony belum mengesahkan sama ada kelemahan tersebut telah ditampal. Syarikat itu melancarkan beberapa kemas kini firmware sejak September, termasuk versi 14.00 pada 16 September dan 14.10 pada 1 Oktober, tanpa menyatakan exploit yang disasarkan.

Perkembangan ini berlaku menjelang pelancaran GTA 6 pada 19 November. Jordy dan penyelidik keselamatan siber Eric Parker masing-masing memberitahu IGN bahawa mereka menjangkakan kelemahan hypervisor baharu akan ditemui pada masa hadapan.

Berkaitan

  • Eksploit Prolapse Didakwa Sokong PS5 Firmware 14.10, Tapi GTA 6 Masih Sukar Dicetak Rompak
  • Scammer Dilapor Ambil Kesempatan 'Hype' Emulator PS5 Dengan Sebar Malware Kepada PC Pemain

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Inovasi Pelajar MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi Dinobatkan Sebagai Juara Junior Innovathon 2026
  • Portal Sekolahku Himpunkan Maklumat Sekolah Seluruh Negara Dalam Satu Platform
  • Mini PC ROG Dengan RTX 5090 Ini Boleh Anda Milikinya Pada Harga RM38,759
  • Navigasi TuJu Belum Pulih, Kini Arahkan Pengguna Android Ke Google Maps
  • China Berjaya Sambungkan 'Power Bank' Karbon Dioksida Mampat Ke Grid Elektrik
  • Kekurangan RAM Dijangka Berlarutan Hingga 2030, Harga Peranti Mungkin Kekal Tinggi
  • Liputan ULTRA5G U Mobile Kini Menjangkau Kira-Kira 2.3 Juta Penduduk Di Sabah
©2026 WISER.MY