OpenAI kini memperluaskan GPT-6 dalam ChatGPT bersama ciri baharu Intelligent UI, yang membolehkan ChatGPT memberikan jawapan lebih visual dan interaktif.
Berbeza daripada format jawapan teks biasa, Intelligent UI membolehkan GPT-6 menggabungkan teks, visual dan elemen interaktif dalam satu respons, dengan format yang disesuaikan berdasarkan soalan pengguna. Respons boleh merangkumi grafik, carta, butang, borang, perbandingan sebelah-menyebelah atau diagram interaktif.
Sebagai contoh, soalan yang memerlukan perbandingan boleh dipaparkan dalam susun atur sebelah-menyebelah, manakala topik yang lebih kompleks boleh diterangkan melalui diagram interaktif untuk membantu pengguna memahami sesuatu konsep dengan lebih mudah.
Lebih menarik, pengguna boleh meminta ChatGPT menghasilkan alat interaktif terus dalam perbualan, seperti kalkulator untuk melihat perkembangan simpanan atau permainan yang boleh dimainkan terus dalam ChatGPT.
Create interactive tools you can use right in the conversation, like a game or interactive budget planning calculator. pic.twitter.com/7gwerFiaNu
— OpenAI (@OpenAI) October 7, 2026
Sesetengah pengalaman interaktif turut membolehkan pengguna mengubah input untuk melihat hasil yang berbeza. Intelligent UI juga tidak semestinya digunakan untuk setiap soalan. GPT-6 akan memilih format yang paling sesuai berdasarkan jenis soalan, termasuk memberikan jawapan dalam bentuk teks biasa apabila itu lebih sesuai.
Selain itu, GPT-6 boleh mula memberikan respons ketika masih meneruskan proses pemikiran atau menggunakan alat, membolehkan pengguna mula membaca jawapan sebelum keseluruhan respons selesai.
Bagi soalan yang memerlukan carian web, OpenAI menyatakan GPT-6 Instant mula memberikan respons secara purata 44% lebih awal berbanding GPT-5.6 Instant, berdasarkan penilaian dalaman syarikat.
Ketersediaan
Dari segi ketersediaan, GPT-6 dengan Intelligent UI mula dilancarkan secara global hari ini kepada pengguna ChatGPT Plus, Pro, Business dan Enterprise melalui tab Chat. Mulai esok, pelancaran akan diperluaskan kepada pengguna Free dan Go, manakala ketersediaan untuk Enterprise bergantung pada tetapan pentadbir organisasi.
Dalam ChatGPT, GPT-6 Sol digunakan untuk pelan Plus, Pro, Business dan Enterprise, manakala GPT-6 Luna untuk pelan Free dan Go.
Buat masa ini, perubahan tersebut khusus untuk pengalaman Chat dalam ChatGPT sahaja. Model yang menggerakkan Work dan Codex tidak berubah sebagai sebahagian daripada pelancaran ini.
{suggest}
