Google Pixel 4a Akan Dijual Pada Harga Yang Sama Seperti Pixel 3a

Melalui imej yang tertiris sebelum ini, ia memperlihatkan Pixel 4a dengan paparan berlubang dan bicu audio 3.5mm. Terbaru, Evan Blass mendedahkan satu papan iklan dengan imej Pixel 4A yang bakal dilancarkan. Papan iklan tersebut menunjukkan tanda harga yang bermula pada $399, iaitu sama seperti model sebelum ini, Pixel 3a.

Harga Pixel 4a

Selain itu, papan iklan tersebut menunjukkan peranti dengan rekaan berlubang di penjuru kiri paparan, modul kamera berbentuk segi empat dan beberapa warna yang tersedia. Terdapat juga bingkai yang memperlihatkan Google Assistant yang baru dari Pixel 4 akan turut hadir pada Pixel 4a.



Jika diperhatikan papan iklan ini, ia jelas bukan gambar sebenar, tetapi mungkin menggunakan Photoshop untuk menggambarkan rekaan yang akan kelihatan dalam kehidupan sebenar. Namun, melalui pendedahan dari Blass yang terkenal dengan kredibilitinya, ia adalah sesuatu yang boleh dipercayai.

Untuk maklumat lebih lanjut, nantikan pelancaran Google Pixel 4a yang dijangka tidak lama lagi.

Sumber: 9to5Google