Google Berkemungkinan Keluarkan Telefon Edisi Khas YouTube

Khabar angin terbaru dalam arena telefon pintar, Google mungkin akan membangunkan telefon edisi khas YouTube.

Perkhabaran tersebut mula timbul berdasarkan kaji selidik Google, yang mana mereka bertanyakan kepada pengguna sama ada mereka berminat atau tidak dengan telefon pintar edisi khas YouTube.

Dikatakan akan dihasilkan sebagai telefon kelas pertengahan, ia akan dilengkapi dengan ciri yang memudahkan pengguna menonton video YouTube terus dari skrin utama ataupun ketika skrin dikunci.

Ura-ura turut menyatakan peranti ini akan menawarkan data percuma sehingga 10GB selama 12 bulan.

Beberapa tahun yang lalu, kita sudah melihat kerjasama antara Facebook dan HTC dalam percubaan mereka menghasilkan telefon pintar bercirikan rangkaian media sosial sebagai fungsi utama. Dikenali sebagai HTC First a.k.a Facebook Phone, peranti itu menemui kegagalan selepas mendapat potongan harga dari $99 kepada hanya 99 sen sahaja oleh pengedar di Amerika Syarikat.

Sekiranya Google benar-benar mahu mengeluarkan peranti edisi khas YouTube, adakah anda akan membelinya? dan jika tidak, apakah alasan anda?

Sumber: 9t05Mac